Keputusan kes Najib: Kenyataan provokatif cetus ketegangan politik

Iklan
Datuk Seri Najib Tun Razak

KEPUTUSAN mahkamah berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kekal menjalani baki hukuman penjara terus menjadi tumpuan ramai khususnya dalam kepimpinan UMNO.

Apatah lagi kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang dilihat secara terbuka meraikan keputusan mahkamah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penyokong Najib.

Iklan
Iklan

Ketegangan ini semakin terserlah susulan kenyataan beberapa pemimpin, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang secara terbuka membangkitkan cadangan supaya UMNO menarik sokongan kepada kerajaan.

Desakan untuk menarik sokongan kepada kerajaan menunjukkan amaran kepada rakan gabungan, khususnya DAP, agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sentimen UMNO.

Iklan

Dalam masa sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan sebarang kenyataan yang bersifat provokatif hanya akan menambahkan ketegangan dalam situasi yang sedang hangat diperkatakan.

“Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak,” katanya ringkas.

Iklan

Namun begitu, ia tidak semestinya membawa kepada keputusan muktamad untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat.

Faktor kestabilan kerajaan, kedudukan UMNO dalam pentadbiran, serta ketiadaan alternatif gabungan yang benar-benar kukuh menjadi pertimbangan utama kepimpinan tertinggi parti.

Keluar daripada kerajaan ketika ini berisiko menyebabkan UMNO kehilangan pengaruh dan akses kepada proses membuat dasar.

Bagaimanapun, diingatkan juga jika isu-isu sensitif seperti ini terus berlanjutan terutama jika ada pihak yang masih mengeluarkan kenyataan provokatif di media sosial, ketegangan DAP dan UMNO boleh menjadi lebih serius.

Ia juga berpotensi menghakis kepercayaan antara rakan gabungan dan menyukarkan pengurusan kerajaan.

Oleh itu, kebijaksanaan semua pihak dalam menjaga percakapan, menghormati perbezaan pandangan dan mengekalkan adab dalam berpolitik akan menentukan bukan sahaja masa depan parti masing-masing tetapi juga mampu mengubah landskap politik negara.