KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Satu laporan polis dibuat terhadap seorang pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan berkaitan isu pengubahan wang haram.
Laporan dakwaan itu dibuat Aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Isnin.
Menurutnya, dokumen-dokumen maklumat bertaraf rahsia berkaitan perolehan, tender dan rundingan dalaman akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Kita ada maklumat antara kemasukan 'mencolok mata' ke akaun pegawai terbabit. Saya akan menyerahkan laporan forensik akaun peribadi milik pegawai atasan itu dulu.
"Saya ialah orang Port Dickson. Port Dickson merupakan bandar tentera darat dan sudah tentu kebajikan anggota, anak-anak keluarga mereka antara prihatin saya," katanya kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi di sini.
Badrul Hisham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson berkata, beliau telah menyusun tiga fasa untuk membuat pendedahan ini.
Ketika ditanya adakah laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) katanya, itu antara pertimbangan yang akan dilakukan.
"Tapi bila kita hantar ke sini (polis), mereka boleh sahaja berkongsikan maklumat untuk SPRM bertindak. Ini baru fasa pertama (pendedahan) dan kita akan pergi ke fasa kedua dan ketiga," ujarnya.
Jelasnya, diharap Menteri Pertahanan meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut.