Pulau Pinang belum terima notis daripada Kedah - Ketua Menteri

Iklan
Kon Yeow (gambar kecil) memaklumkan, Kerajaan Pulau Pinang masih belum menerima sebarang notis atau petisyen daripada Kerajaan Negeri Kedah berhubung isu kedudukan dan hubungan antara negeri itu dengan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang masih belum menerima sebarang notis atau petisyen daripada Kerajaan Negeri Kedah berhubung isu kedudukan dan hubungan antara negeri itu dengan Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Penasihat Undang-Undang Negeri turut mengesahkan bahawa tiada sebarang makluman daripada Kedah berkaitan isu yang telah berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Belum. Masih tiada (sebarang notis atau petisyen) diterima. Surat rasmi pun tiada," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kalendar Kita Bersama Petron Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang 2025 di Komtar pada Isnin.

Tahun lalu, Kon Yeow menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar membuktikan dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah di mahkamah.

Iklan

Gesaan tersebut dibuat susulan kenyataan Muhammad Sanusi dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, yang mengulangi dakwaannya bahawa Pulau Pinang merupakan milik Kedah dan negeri itu boleh 'mengambil semula' Pulau Pinang.

Terdahulu, Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa Kedah berada dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman untuk memulakan tindakan perundangan berkaitan isu berkenaan.

Iklan

Menurutnya, langkah itu diambil berikutan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan agar isu tersebut dijelaskan secara telus, termasuk perkara berkaitan pajakan.

Tambah beliau, Kerajaan Kedah telah melantik satu pasukan penyelidik yang terdiri daripada pakar sejarah dan perundangan bagi menjalankan kajian komprehensif berkenaan perkara tersebut.

Jelas Muhammad Sanusi, ia termasuk pelaksanaan analisis mendalam, penyediaan dokumen serta memulakan proses tindakan perundangan di mahkamah.

Pasukan berkenaan telah menyiapkan kajian mereka dan laporan akhir telah dibentangkan kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli Parlimen yang berkaitan pada 15 April lalu.