Kerajaan sasar 100,000 pelancong kunjungi Desa Kirana

Iklan
Ahmad Zahid menyaksikan persembahan tarian silat sewaktu tiba di Majlis Pengumuman Lengkap Pakej Lengkap Desa Kirana di Kampung Batu 23, Sungai Nibong pada Sabtu.

SEKINCHAN - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkenalkan Pakej Lengkap Desa Kirana merangkumi 25 destinasi desa yang menawarkan produk pelancongan tersusun dan pengalaman unik kepada pelancong.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu disasar dapat menarik 100,000 pelancong akhir tahun depan.

Iklan
Iklan

Ahmad Zahid ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pengumuman Lengkap Pakej Lengkap Desa Kirana di Kampung Batu 23, Sungai Nibong pada Sabtu.

“Dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), KKDW dan Persatuan Homestay serta Persatuan Inap Desa, kita jangka pelancong terutama dari Jepun dan Korea amat berminat untuk datang ke kawasan desa.

Iklan

“Saya sasar menjelang akhir tahun 2026, inisiatif Desa Kirana yang merangkumkan 25 kampung di seluruh negara khususnya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mesti menjana sekurang-kurangnya 100,000 pelancong ke inap desa.

“Oleh kerana angka 100,000 ini adalah sasaran kita, maka ia tidak harus berhenti pada akhir tahun 2026 sahaja. Tahun depan hanyalah sebagai tapak permulaan untuk kita selanjutnya membawa para pelancong datang sebagai repeaters (pengunjung berulang) pada tahun berikutnya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Lengkap Pakej Lengkap Desa Kirana di Dataran Kampung Batu 23, Sungai Nibong pada Sabtu.

Ahmad Zahid mengetuk gong sebagai simbolik perasmian Majlis Pengumuman Lengkap Pakej Lengkap Desa Kirana di Kampung Batu 23, Sungai Nibong pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut merupakan game changer penting bagi memacu pelancongan desa sedia ada dengan memastikan pendekatan lebih mampan dan inklusif.

“Usaha ini kita laksana dengan memberi penekanan lima elemen tarikan utama iaitu warisan dan kebudayaan, tarikan alam semula jadi, gastronomi tempatan, produk tradisional dan pengalaman kehidupan desa.

“Melalui Desa Kirana, kita pakejkan tarikan pelancongan desa sedia ada yang berpotensi, ke dalam satu pengalaman pelancongan yang menyeluruh dan kita bantu promosi dan hebahkan kepada umum sama ada dalam dan luar negara,” ujarnya.

Menurut beliau, pakej berkenaan turut memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati budaya, seni, tradisi, kulinari serta suasana kehidupan kampung yang sebenar.

“Sejak sektor pelancongan dipisahkan daripada budaya dan seni suatu ketika dahulu, nilai budaya kurang diketengah.

“Namun kini, kerajaan jelas beri perhatian bahawa produk pelancongan tidak boleh dipisah daripada warisan budaya.

“Langkah ini disambut baik KKDW kerana masyarakat desa dan kampung perlu merebut peluang untuk mempromosikan produk tempatan mereka,” ujarnya.

Kata Ahmad Zahid, kementerian turut mengimbangi pelancongan berpendapatan tinggi dan rendah supaya semua pelancong dapat menikmati keindahan negara.

“Slogan Malaysia Truly Asia mencerminkan realiti bahawa Malaysia adalah gambaran sebenar Asia. Pengalaman saya di Kementerian Pelancongan sebagai Timbalan Menteri sebelum ini, menyedarkan saya bahawa keperluan pelancong telah berubah.

“Hari ini, pelancong high-end juga tidak lagi hanya mahu berada di bandar. Mereka mahu merasai kehidupan desa, tetapi pakej pelancongan yang sesuai masih terhad,” menurutnya.

Ujar beliau, inisiatif Desa Kirana mampu diangkat sebagai wadah untuk komuniti desa menjadi pemain utama dalam sektor pelancongan, sekali gus menjana ekonomi komuniti setempat.

“Apabila kita promosi dan hebah secara bersepadu, pendekatan ini membolehkan semua pelancong dapat nikmati kesemua tarikan tersebut secara total apabila mereka mengunjungi lokasi Desa Kirana," katanya lagi.