KEWUJUDAN perkhidmatan ‘coach cerai’ hangat diperkatakan di media sosial selepas individu yang menggunakan gelaran tersebut muncul bersama seorang selebriti wanita di mahkamah baru-baru ini.
Pendirian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan terhadap penggunaan istilah baharu itu mencerminkan kebimbangan kerajaan terhadap potensi kekeliruan masyarakat apabila perceraian dilihat dari sudut komersial dan dipasarkan sebagai satu bentuk ‘penyelesaian’.
Dalam Islam, perkahwinan adalah satu amanah agama yang mempunyai implikasi mendalam terhadap kesejahteraan emosi, sosial dan spiritual pasangan serta anak-anak.
Isu utama yang dibangkitkan bukanlah penafian terhadap realiti bahawa perceraian kadangkala tidak dapat dielakkan, tetapi kebimbangan terhadap naratif yang seolah-olah memudahkan dan menormalisasikan perceraian sebagai jalan pintas dalam menangani konflik rumah tangga.
Pendekatan sedemikian berisiko menghakis nilai kesabaran, tanggungjawab dan usaha islah yang menjadi teras dalam penyelesaian konflik menurut syariah, meskipun terdapat ruang perdamaian menerusi Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Dalam konteks ini, penjenamaan ‘coach cerai’ dilihat sebagai satu pendekatan yang mengalihkan fokus daripada pemulihan institusi perkahwinan kepada pengurusan perpisahan.
Walaupun perkhidmatan tersebut bertujuan membantu individu membuat keputusan secara lebih teratur dan kurang trauma, istilah serta pendekatan yang digunakan memberi gambaran bahawa perceraian adalah destinasi, bukan pilihan terakhir selepas segala usaha pendamaian dilakukan.
Dr Zulkifli turut menggariskan peranan dan autoriti institusi agama sedia ada yang telah lama menyediakan mekanisme penyelesaian konflik rumah tangga secara berperingkat dan berlandaskan syariah.
Proses nasihat, sulh, pelantikan orang tengah daripada kalangan keluarga serta kaunseling oleh pegawai bertauliah bukan sekadar prosedur, malah merupakan sistem nilai yang bertujuan memelihara institusi keluarga selagi masih wujud ruang untuk berdamai.
Inisiatif seperti KSKCareCentre oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kursus Pascaperkahwinan Islam yang ditawarkan oleh Jabatan Agama Islam negeri-negeri menunjukkan bahawa negara tidak bersikap pasif dalam menangani isu konflik rumah tangga.
Pendekatan berstruktur, profesional dan berpaksikan syariah ini bertujuan membantu pasangan memahami punca konflik, memperbaiki komunikasi dan membuat keputusan secara matang serta bertanggungjawab.
Perdebatan mengenai kewujudan ‘coach cerai’ bukanlah soal menutup ruang sokongan kepada individu yang tertekan dalam perkahwinan, sebaliknya berkisar kepada keperluan menetapkan sempadan yang jelas antara bimbingan, sokongan dan normalisasi perceraian.
Justeru, seperti yang ditegaskan oleh kerajaan, sebarang pendekatan berkaitan institusi keluarga perlu ditangani dengan penuh hikmah, beretika dan bertanggungjawab agar tidak mencetuskan kekeliruan atau meremehkan kesucian institusi perkahwinan itu sendiri.