Fahmi Reza direkod keterangan, telefon dirampas kes hina TMJ

Iklan
Fahmi Reza. Foto: Bernama

SHAH ALAM – Polis telah merekodkan keterangan pereka grafik bebas yang sering mencetuskan kontroversi, Fahmi Reza manakala telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berunsur fitnah dan menghina Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, keterangan Fahmi telah diambil pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman berkaitan kenyataan berhubung kes tersebut yang dimuat naik di akaun Facebook Fahmi Reza pada 15 Disember lalu.

“Selepas tindakan (rakaman keterangan) polis selesai, Fahmi telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Iklan

“Polis telah menerima sebanyak 284 laporan berkaitan isu sama di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, dan jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Iklan

Tambahnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Jelas beliau, polis menegaskan bahawa tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang menghina institusi diraja.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruang awam mahupun media sosial,” katanya.