MUAR - Seorang pekerja kebersihan melecur pada bahagian badan selepas tong gas meletup dipercayai sedang memasak dalam kejadian di Taman Pagoh Jaya di sini malam Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.54 malam itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk rawatan lanjut.
Iklan
Iklan
Komander Operasi Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Nor Alfattah Omar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh digerakkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera FRT.
"Setibanya di lokasi, anggota mendapati berlaku kebakaran perkakas memasak di rumah terbabit.
"Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki yang juga penghuni rumah berkenaan melecur 30 peratus pada badannya.
"Kebakaran berjaya dipadamkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.35 malam, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.