SEHARI dua ini dapat dilihat dalam media sosial betapa rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) pada Selasa lepas mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Kebimbangan khususnya masyarakat Melayu Islam mengenai apa yang dilambangkan oleh lantikan tersebut dari sudut struktur kuasa, imbangan kepentingan dan hala tuju negara.
Paling mencetuskan kebimbangan dan kontroversi adalah pelantikan buat pertama kalinya seorang bukan Islam, Hannah Yeoh Tseow Suan daripada DAP sebagai Menteri Wilayah Persekutuan —memegang portfolio yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Kebimbangan ini bertambah besar apabila Timbalan Menterinya juga bukan Melayu Islam iaitu Datuk Lo Su Fui daripada GRS.
Wilayah Persekutuan bukanlah kementerian biasa. Ia adalah jantung politik dan pentadbiran negara, simbol kedaulatan Persekutuan serta pusat tumpuan dasar perbandaran, tanah, perumahan dan kerajaan tempatan.
Persoalan yang timbul bukan soal keupayaan individu semata-mata, tetapi kepekaan terhadap realiti sosio-politik Malaysia sebagai sebuah negara Melayu Islam.
Lantikan ini dalam konteks sejarah dan struktur negara, secara objektif menimbulkan keresahan terhadap kedudukan dan kepentingan Melayu Islam bandar yang sedia berdepan tekanan kos sara hidup, pemilikan rumah dan marginalisasi ekonomi.
Kebimbangan ini pula tidak berdiri sendiri. Ia berlaku seiring dengan pengekalan Nga Kor Ming daripada DAP sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pelantikan Steven Sim Chee Keong daripada DAP sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Secara keseluruhan, semua lantikan ini memberi penguasaan strategik kepada DAP ke atas sektor perbandaran, kerajaan tempatan, perumahan dan keusahawanan iaitu sektor yang paling kritikal kepada masa depan Melayu bandar dan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) Bumiputera.
Dalam isu KUSKOP, Tan Sri Noh Omar, bekas menteri yang pernah dua kali menerajui kementerian tersebut mengingatkan bahawa roh asal KUSKOP adalah jelas iaitu memperkasa usahawan Bumiputera dan PMKS melalui agensi strategik seperti TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Corp, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, PKK dan lain-lain.
Beliau menegaskan: “Penyerahan portfolio KUSKOP kepada seorang Menteri daripada DAP, sebuah parti yang memperjuangkan kesamarataan dan sering mempertikaikan prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB) menimbulkan persoalan untuk membela nasib PMKS Bumiputra.”
Beliau turut mempersoalkan sama ada akan berlaku perubahan dasar secara senyap atas nama “kesamarataan baharu” dan menegaskan bahawa agenda Bumiputera tidak boleh diketepikan semata-mata kerana keperluan politik semasa.
Isu yang sama turut membelenggu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan pengekalan Datuk Seri Tiong King Sing yang dibelenggu kontroversi serta pelantikan Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri.
Kedua-dua jawatan tertinggi kementerian ini kini dipegang oleh bukan Melayu Islam sedangkan kementerian ini bertanggungjawab memelihara seni, warisan dan budaya Melayu Islam sebagai teras identiti negara.
Persoalannya jelas, bagaimana sensitiviti budaya Melayu Islam dapat dipelihara jika kepimpinan tertinggi tidak berakar daripada nilai dan pengalaman tersebut?
Bukan sahaja dari sudut bangsa dan agama tetapi dari sudut kawasan juga lantikan ini tidak kena kerana kedua-dua Tiong King Sing dan Chiew Choon Man adalah daripada Sarawak.
Dalam mempertahankan rombakan Kabinet ini, PMX memilih pendekatan moral dan retorik toleransi.
Beliau menyatakan: “Tidak betul langsung kena suara-suara sumbang, umpamanya pelantikan Jemaah Menteri Wilayah Persekutuan. Tidak semestinya bila ada Menteri Cina, dia akan menindas Melayu.”
Beliau menambah: “Menolak seseorang kerana warna kulit atau kaumnya... itu sesuatu yang sangat keji pada zaman sekarang. Kadang-kala saya tidak faham tahap sikap tidak bertoleransi sesetengah rakyat kita.”
Namun, kenyataan ini secara jelas mengelirukan antara kebimbangan berasaskan struktur kuasa dengan penolakan berasaskan kebencian kaum. Rakyat bukan mempersoalkan warna kulit semata-mata, tetapi implikasi politik, dasar dan kuasa yang terhasil daripada pemusatan portfolio strategik di tangan parti dan kelompok tertentu.
Lebih membimbangkan, kenyataan PMX ini membawa implikasi tidak langsung seolah-olah penolakan terhadap kepimpinan bukan Melayu dalam jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri juga boleh dianggap “keji” dan “tidak bertoleransi”.
Ini satu tafsiran janggal dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang membentuk asas negara sejak merdeka.
Ironinya, jika bangsa benar-benar bukan faktor, persoalan berikut wajar dijawab secara jujur: Mengapa sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, PMX tidak pernah melantik pemimpin Melayu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang?
Jika portfolio Melayu boleh ditukar kepada bukan Melayu atas alasan merit, mengapa prinsip yang sama tidak diuji secara seimbang di negeri yang dikuasai DAP? Tidak munasabah untuk mengatakan bahawa tiada langsung pemimpin Melayu yang berkelayakan di Pulau Pinang.
Keresahan ini malah turut disuarakan secara terbuka oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan: “Kenapa Menteri Wilayah Persekutuan dilantik seorang berbangsa Cina DAP dan Timbalan Menteri juga daripada seorang berbangsa Cina GRS? Apakah nasib Bumiputera bandar? Apakah ini permulaan untuk Pilihanraya Kerajaan Tempatan diadakan?”
Pas melalui kenyataan media Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, turut memberi amaran keras bahawa rombakan ini menunjukkan pemusatan kuasa bandar dan kerajaan tempatan di tangan satu parti dan satu kelompok etnik.
Beliau menegaskan bahawa Wilayah Persekutuan adalah “jantung politik dan pentadbiran negara” dan bahawa pelantikan ini menimbulkan persoalan sah berkait ketidakseimbangan kuasa dan hala tuju sebenar pentadbiran negara.
Pas juga membangkitkan kebimbangan bahawa rombakan ini mungkin berkait dengan tekanan politik dan tawar-menawar kuasa, termasuk spekulasi berkaitan tuntutan pengiktirafan UEC.
Jika jawatan Kabinet dijadikan “bunga emas” untuk mengekalkan sokongan politik, Pas menegaskan ia merupakan hakisan serius terhadap integriti pentadbiran negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula mempersoalkan sama ada rombakan ini dibuat atas dasar prestasi atau semata-mata tekanan politik.
Beliau menyatakan bahawa rombakan Kabinet bukan sekadar menukar wajah, tetapi mesti menjawab kegagalan sedia ada dan bukan “untung secupak hingga rugi segantang”.
Kesemua kenyataan ini menunjukkan satu perkara yang jelas, iaitu kebimbangan terhadap rombakan Kabinet ini adalah bersifat meluas, berasas dan merentas parti, bukan sentimen terpencil atau emosi semata-mata.
Rombakan Kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan rakyat, bukan menambahkan keresahan mereka. Kepimpinan bukan soal menyusun angka untuk mengekalkan kuasa, tetapi kebijaksanaan membaca realiti negara, menghormati sensitiviti majoriti dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kehendak sekutu politik.
Jika rombakan ini terus dipertahankan dengan retorik toleransi tanpa menjawab persoalan struktur kuasa dan dasar, maka PMX bukan sedang memimpin negara tetapi beliau sebenarnya sedang menguji kesabaran rakyat dengan asas kepercayaan yang semakin rapuh.
Tidak mustahil jika ini boleh mempercepatkan kejatuhan PH-BN.
*Dr. Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi), Yayasan Strategik Lestari, dan pemerhati politik semasa.