[VIDEO] Pegawai penjara didakwa sebabkan kematian tahanan

Iklan

TAIPING - Seorang pegawai penjara yang bertugas di Pusat Koreksional Taiping dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat kerana menyebabkan kematian seorang tahanan, awal tahun lalu.

Tertuduh, Ryndee O'nel Victor, 25, didakwa menyebabkan kematian Gan Chin Eng, 62, dengan mengetahui bahawa perbuatannya mungkin menyebabkan kematian lelaki terbabit.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di Dewan B, Penjara Taiping, Jalan Taming Sari di sini dalam Daerah Larut Matang dan Selama antara jam 3.30 petang sehingga 4 petang pada 17 Januari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kematian seorang tahanan di Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Iklan

Pasukan pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos mencadangkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Mohd Aidil Arsad merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri yang sedang hamil.

Majistret Ahmad Hamdi Mustafar kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan dua penjamin manakala pasport tertuduh perlu diserahkan selain dilarang mengganggu saksi.

Mahkamah turut menetapkan 26 Februari 2026 sebagai sebutan semula kes.

Pada 11 Februari lalu, Jabatan Penjara mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu yang menyebabkan seorang banduan meninggal.

Menurut kenyataan jabatan itu, insiden berkenaan membabitkan seorang prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping.