Bangladesh berkabung, pemimpin belia meninggal dunia di hospital Singapura

Iklan
Seorang aktivis memegang poster Sharif Osman Hadi, pemimpin kanan kumpulan protes pelajar Inqilab Mancha di Dhaka. Foto AFP

NEW DELHI - Bangladesh berkabung susulan kematian seorang pemimpin belia yang menjadi tokoh penting dalam kebangkitan pelajar pada 2024 sehingga menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, meninggal dunia di Singapura akibat kecederaan dialaminya dalam serangan di Dhaka.

Sharif Osman Hadi, 32, cedera dalam serangan di kawasan Paltan, Dhaka pada 12 Disember dan diterbangkan ke Hospital Besar Singapura pada 15 Disember bagi rawatan lanjut.

Iklan
Iklan

Pemimpin sementara Bangladesh, Muhammad Yunus mengumumkan menerusi televisyen negara bahawa nyawa Hadi tidak dapat diselamatkan dan berikrar untuk menghukum pembunuhnya.

"Sharif Osman Hadi, pejuang barisan hadapan yang tidak gentar dalam Kebangkitan Julai dan jurucakap Inqilab Mancha, kini tiada lagi bersama kita.

Iklan

"Semoga ALLAH menerima pejuang abadi dalam perjuangannya menentang fasisme dan hegemoni (asing) ini sebagai seorang syahid,” kata Yunus dalam ucapan kepada negara pada malam Khamis.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Singapura memaklumkan bahawa walaupun usaha terbaik dilakukan oleh doktor dari Hospital Besar Singapura dan Institut Neurosains Nasional, Hadi meninggal dunia akibat kecederaannya.

Iklan

Bangladesh akan berkabung pada Sabtu dan bendera kebangsaan akan dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan dan awam sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin yang meninggal dunia itu, lapor agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha.

Solat khas akan diadakan di masjid-masjid seluruh negara selepas solat Jumaat.

Hadi dikenali sebagai penentang tegar Hasina dan Liga Awami, dilarang menyertai pilihan raya parlimen yang dijadualkan berlangsung pada Februari.

Sebagai calon berpotensi bagi kawasan Dhaka-8, beliau dilaporkan sedang menaiki beca berkuasa bateri untuk berkempen apabila ditembak.

Sementara itu, Yunus berkata, penjenayah yang terlibat dalam pembunuhan Hadi akan dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan.

"Tiada siapa boleh menghalang kemajuan demokrasi negara ini melalui ugutan, kegiatan pengganas atau pertumpahan darah,” katanya.

Parti-parti politik utama Bangladesh bersatu menyatakan rasa dukacita dan memberi penghormatan kepada ikon belia berkenaan.

Sementara itu, keganasan tercetus di Dhaka dan beberapa lokasi lain pada malam Khamis susulan berita kematian Hadi.

Laporan media menyebut ribuan penunjuk perasaan turun ke jalan raya, dengan beberapa bangunan di ibu negara dirosakkan, termasuk pejabat akhbar berbahasa Bengali Prothom Alo dan akhbar berbahasa Inggeris Daily Star yang dibakar.

Sebuah pejabat Liga Awami turut diserang di bandar Rajshahi, menurut laporan media tempatan. - Bernama