Wanita warga emas maut nahas dua kenderaan

Iklan
Keadaan lori yang terbabit dalam nahas di KM32 Jalan Renggam - Simpang Renggam pada Khamis. Foto: IPD Kluang

KLUANG – Seorang warga emas maut apabila kereta yang dinaikinya terlibat dalam nahas dengan sebuah lori di Kilometer (KM)32, Jalan Renggam - Simpang Renggam di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai nahas tersebut yang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah lori jenis Isuzu pada jam 8.10 pagi.

Iklan
Iklan

“Hasil siasatan mendapati, kereta Myvi yang dipandu oleh wanita warga emas terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Renggam menghala ke Simpang Renggam, manakala lori jenis Isuzu yang dipandu lelaki berusia 38 tahun pula bergerak dari arah Simpang Renggam ke Renggam.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Myvi itu dipercayai telah hilang kawalan hingga memasuki lorong bertentangan lalu bertembung dengan lori berkenaan.

Iklan

Keadaan lori yang terbabit dalam nahas di KM32 Jalan Renggam - Simpang Renggam pada Khamis. Foto: IPD Kluang

“Akibat kemalangan tersebut, wanita warga emas itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian dada dan kaki kanan, manakala pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan,” katanya.

Iklan

Tambah Bahrin, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairol Nizam bagi membantu siasatan,” katanya.