Lantikan Hannah Yeoh tidak jejas agenda Melayu di Wilayah Persekutuan - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid Hamidi. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalannya tidak akan menjejaskan agenda Melayu di Wilayah Persekutuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai beberapa pertimbangan sebelum melantik Hannah dan Su Fui menerajui portfolio itu.

Iklan
Iklan

"Semua keputusan utama itu dibawa kepada Kabinet dan pertimbangan dibuat berdasarkan beberapa ketentuan bahawa kepentingan semua pihak akan terjaga.

"Perkara ini bukan soal bangsa kerana Kerajaan MADANI memberikan keprihatinan terhadap keterangkuman dalam pelaksanaan agenda nasional termasuk di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di sini hari ini.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, walaupun Hannah merupakan wakil DAP, prestasi beliau semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan membuktikan tiada agenda perkauman sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Pelantikan Hannah, dan Su Fui yang mewakili parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu juga katanya, mengambil kira kedudukan Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Iklan

Ahmad Zahid turut memberikan jaminan bahawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri termasuk beliau sendiri, akan bersama-sama melakukan pemantauan bagi menentukan bahawa agenda nasional sentiasa diberi keutamaan.

Rombakan Kabinet pada Selasa menyaksikan Hannah bertukar portfolio daripada Menteri Belia dan Sukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) manakala Lo yang merupakan muka baharu dilantik sebagai timbalannya. - Bernama