SUBANG JAYA – KDEB Waste Management (KDEBWM) terus memperkukuh kecekapan pengurusan sisa pepejal di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi penyerahan 171 unit aset baharu bagi menyokong operasi kutipan harian di kawasan berkenaan.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, sebagai syarikat yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Selangor, KDEBWM mahu memastikan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima sokongan aset dan sumber operasi mencukupi serta berkualiti tinggi.
"Subang Jaya mempunyai kepadatan penduduk tinggi di samping pertumbuhan pembangunan yang aktif dan pola pergerakan komuniti yang dinamik.
"Keadaan ini menuntut tahap kecekapan dan kesediaan operasi yang lebih mantap dalam perkhidmatan pengurusan sisa pepejal," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lori Kontrak Baharu Perkhidmatan KDEBWM kepada MBSJ di sini pada Khamis.
Ahmad Rizal berkata, bagi kontrak baharu KDEBWM di MBSJ bagi tempoh 1 Januari tahun depan hingga 31 Disember 2033, MBSJ akan menerima 77 unit lori kompaktor dan 94 unit lori armroll menjadikan keseluruhan 171 unit aset baharu.
"Setiap penambahbaikan aset dan pelaburan yang dilaksanakan perlu memberi impak terus kepada kualiti perkhidmatan kepada penduduk," ujar beliau.
Ahmad Rizal menegaskan, penyerahan aset itu sebahagian daripada komitmen berterusan KDEBWM bagi memastikan operasi kutipan sisa pepejal harian di Subang Jaya berjalan lancar, cekap dan berkesan demi kesejahteraan komuniti setempat.
Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abdul Rahim berkata, sebanyak RM83 juta diperuntukkan MBSJ di bawah kontrak baharu bermula tahun hadapan.
Beliau berkata, peruntukan itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM9.6 juta berbanding tahun semasa selaras dengan keperluan operasi yang semakin meningkat di kawasan pentadbiran MBSJ.
"Lori-lori ini akan digunakan untuk menjalankan kerja kutipan sisa pepejal serta pembersihan awam di seluruh kawasan pentadbiran MBSJ," kata beliau.
Amirul Azizan berkata, peningkatan kos itu turut melibatkan penambahan skop kerja termasuk aktiviti pembersihan longkang-longkang utama yang sebelum ini memerlukan perancangan lebih menyeluruh.
“Bermula tahun hadapan, longkang-longkang utama akan dijaga dan dibersihkan oleh KDEBWM bagi memastikan sistem saliran sentiasa berada dalam keadaan baik,” tambah beliau.