KOTA KINABALU - Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatat kerugian selama lima tahun berturut-turut akan dikaji semula dan berdepan kemungkinan arahan penutupan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan, mana-mana GLC yang gagal mencatat keuntungan dalam tempoh berkenaan akan dinilai oleh Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (JPP-KKNS).
"Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan arahan penutupan sekiranya GLC berkenaan tidak menunjukkan sebarang prospek untuk pulih," katanya ketika majlis penyampaian dividen dan sumbangan GLC serta badan berkanun di Menara Kinabalu di sini pada Khamis.
Menurut Hajiji, setiap badan berkanun dan GLC bertanggungjawab mematuhi kadar pembayaran dividen minimum iaitu 10 peratus daripada keuntungan selepas cukai.
"Ini merupakan ketetapan yang telah lama digariskan dan saya menjangkakan semua GLC menunjukkan disiplin kewangan serta komitmen penuh dalam memenuhi kewajipan ini.
"Selain itu, bermula tahun hadapan, saya juga mahu melihat peningkatan tahap sumbangan tahunan daripada GLC, antara sekitar RM2 juta hingga RM10 juta, bergantung kepada keupayaan dan prestasi syarikat," katanya.
Hajiji menegaskan semula bahawa kerajaan negeri akan melaksanakan rombakan terhadap pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC bagi memperkukuh tadbir urus korporat dan kebertanggungjawaban, selain menyuntik kepimpinan baharu ke dalam syarikat-syarikat tersebut.
"Kerajaan negeri menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan perlu dilakukan bagi memastikan transformasi yang berkesan dan mampan.
"Untuk maju ke hadapan, kita mahu meningkatkan prestasi GLC selaras dengan matlamat Sabah Maju Jaya 2.0. Objektif utama kita adalah menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang cekap dan dipercayai menerusi pengurusan yang berwibawa bagi menjana pendapatan dan nilai yang lebih tinggi untuk rakyat dan negeri," katanya
Beliau turut mengulangi bahawa bermula tahun hadapan, semua ketua pegawai eksekutif, pengurus besar kumpulan dan pengurus besar GLC serta badan berkanun diwajibkan mengemukakan laporan prestasi bertulis suku tahunan terus kepadanya.
"Laporan tersebut mesti merangkumi kemajuan projek, status kewangan, pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta tahap kecekapan operasi.
"Mana-mana pihak yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai KPI atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan disemak kedudukannya, termasuk kemungkinan diganti atau ditamatkan perkhidmatan," katanya.
Berdasarkan laporan semasa, katanya, prestasi keseluruhan GLC masih berada pada tahap sederhana, dengan jumlah dividen dan sumbangan yang dibayar kepada kerajaan negeri berjumlah RM125.3 juta berbanding jumlah tertinggi yang direkodkan pada 2022 iaitu RM156.31 juta.
"Walaupun angka ini menunjukkan sumbangan masih positif, saya percaya potensi sebenar agensi milik kerajaan adalah jauh lebih besar daripada apa yang telah dicapai setakat ini," katanya