Upah RM150 tidak berbaloi, polis nasihat B40 henti seludup migran

Iklan
Mohd Yusoff (kanan) menunjukkan hasil tangkapan melibatkan kes migran di negeri ini semasa sidang akhbar selepas merasmikan perhimpunan bulanan di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Khamis.

KOTA BHARU – Polis Kelantan menasihatkan orang ramai, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), supaya menghentikan penglibatan dalam aktiviti penyeludupan dan melindungi migran kerana berdepan hukuman berat yang tidak setimpal dengan upah diterima.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kebanyakan individu yang terlibat sebagai tekong, pelindung atau pengangkut migran terdiri daripada golongan B40 yang terpedaya dengan upah rendah antara RM150 hingga RM500 bagi setiap perjalanan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, khususnya Seksyen 26A dan 26J, sebanyak 50 kertas siasatan telah dibuka melibatkan tangkapan 70 tekong dan 332 migran.

“Dalam tempoh itu, polis turut merampas 39 kenderaan termasuk kereta, bas dan motosikal yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan.

Iklan

“Hukuman bagi kesalahan ini amat berat, termasuk penjara sehingga 20 tahun serta denda yang tinggi. Ia langsung tidak berbaloi dengan upah kecil yang diterima,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu, beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini.

Iklan

Mohd Yusoff memberitahu, polis turut membuka 54 kertas siasatan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen melibatkan tangkapan 53 pelindung dan 214 migran.

Ujarnya, rampasan dalam kes tersebut membabitkan 33 kenderaan termasuk motosikal dan lori yang digunakan untuk membawa migran dari Kelantan ke negeri lain, terutama ke Lembah Klang.

“Ini juga satu kesalahan serius. Mereka yang bertindak sebagai transporter atau menyediakan kenderaan boleh dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” tegasnya.

Mengulas mengenai kawalan sempadan, beliau memberitahu, penutupan sempadan berjaya mengurangkan pergerakan keluar masuk migran secara haram sehingga kira-kira 90 peratus, namun baki 10 peratus masih berlaku disebabkan faktor manusia.

“Selagi tiada tembok atau benteng di sempadan, agak sukar untuk membanteras sepenuhnya kegiatan ini kerana faktor geografi, khususnya Sungai Golok yang sempit.

“Walaupun kita menggunakan teknologi canggih seperti dron dan kecerdasan buatan (AI), kawasan sungai yang sempit dan faktor manusia menyebabkan penguatkuasaan 100 peratus amat mencabar,” katanya.