Namewee tidak hadir ke mahkamah kerana influenza

Iklan
Sebutan kes dadah membabitkan Namewee di dua Mahkamah Majistret pada Khamis, ditangguhkan selepas dia dijangkiti influenza.

KUALA LUMPUR – Sebutan kes memiliki dan memberikan dadah berbahaya ke dalam badan membabitkan pemuzik kontroversi, Namewee di dua Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, ditangguhkan selepas dia dijangkiti influenza.

Semasa prosiding berasingan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan S Arunjothy, peguam Joshua Tay yang mewakili Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, memaklumkan bahawa anak guamnya tidak hadir kerana sakit.

Iklan
Iklan

“Penjamin kepada anak guam telah membekalkan sijil sakit dari sebuah hospital swasta selama tiga hari termasuk laporan perubatan yang menyatakan Wee Meng Chee dijangkiti influenza A.

“Susulan itu, saya mohon sebutan semula kes ini ditetapkan pada tarikh yang lebih singkat,” katanya.

Iklan

Dalam kes berkenaan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’ Asnitha Zaina’ Larifin dan Izzat Amir Idham.

Kedua-dua mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes berkenaan masing-masing pada 22 Disember dan 19 Januari 2026.

Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah disyaki jenis ekstasi dengan anggaran berat 5.12 gram di bilik sebuah hotel di Jalan Conlay di sini, pada jam 4.30 petang, 22 Oktober lalu.

Susulan itu, pengarah filem Nasi Lemak 2.0 tersebut didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga dan sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa memasukkan ke dalam badannya dadah jenis amphetamine, methamphetamine, 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) dan ketamin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada jam 7.15 petang, pada tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.