Salji selubungi pergunungan Al-Lawz di Tabuk, Arab Saudi

Iklan
Salji yang melitupi Jabal Al-Lawz di Tabuk menjadikan kawasan pergunungan itu tarikan musim sejuk popular, dengan landskap bertukar putih serta suhu beku melanda kawasan berkenaan. Foto: Saudi Gazette

TABUK– Pergunungan Jabal Al-Lawz di wilayah Tabuk dilitupi salji tebal pada Rabu, sekali gus mengubah landskap gurun menjadi pemandangan musim sejuk yang memukau, dengan suhu menjunam sehingga -4 darjah Celsius, lapor Saudi Gazette.

Fenomena cuaca luar biasa itu turut disertai kabus tebal yang menyelubungi kawasan tanah tinggi serta angin kencang, menyebabkan suhu berada pada paras bawah sifar di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Kawasan tanah tinggi Trojena turut menerima salji, selain hujan renyai dilaporkan di beberapa lokasi lain.

Hujan biasa hingga sederhana turut direkodkan di pusat-pusat kawasan Bi’r bin Hirmas, Al-Uyaynah, Halat Ammar dan Shigry, termasuk kawasan sekitarnya.

Iklan

Sebuah kenderaan diliputi salji.Foto: Agensi

Salji yang turun di Jabal Al-Lawz menjadikan kawasan itu tarikan musim sejuk popular, menarik kehadiran penduduk tempatan dan pelawat yang ingin merakam gambar serta merasai pengalaman musim sejuk unik, meskipun kawasan tersebut terkenal sebagai wilayah beriklim kering.

Iklan

Jabal Al-Lawz, yang bermaksud Gunung Badam, terletak di barat laut Arab Saudi pada ketinggian kira-kira 2,580 meter dari aras laut.

Gunung ini sememangnya terkenal dengan kejadian salji tahunan, dan setiap kali musim sejuk, pemandangannya sering memukau pengunjung,

Sementara itu, Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi memaklumkan dalam laporan cuaca Rabu bahawa terdapat kemungkinan salji ringan dan pembentukan fros di beberapa kawasan tanah tinggi di Tabuk dan Hail, serta di bahagian timur laut tanah tinggi Madinah.

Laporan sama turut meramalkan keadaan separa berawan hingga berawan, dengan ribut petir berselerak dan hujan di bahagian barat serta barat daya Arab Saudi.

NCM turut memberi amaran mengenai ribut petir sederhana hingga lebat yang boleh mengakibatkan banjir kilat, disertai hujan batu dan angin kencang di beberapa kawasan termasuk Riyadh, Wilayah Timur dan Wilayah Sempadan Utara.

Hujan sederhana dijangka berlaku di wilayah Tabuk, Al-Jouf, Hail dan Qassim, dengan kemungkinan pembentukan kabus di beberapa kawasan terlibat.-Agensi