Teknologi digital penghapus rasuah?

Iklan
Blockchain memastikan transaksi kekal tercatat dan dapat diaudit, mempersempit ruang bagi rasuah. Gambar kecil: Hanim

DALAM era Revolusi Industri 4.0, teknologi digital bukan lagi sekadar alat komunikasi, tetapi menjadi pemacu utama transformasi sosial dan ekonomi.

Persoalannya, bolehkah teknologi khususnya digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) menjadi benteng untuk menghapuskan rasuah?

Iklan
Iklan

Atau lebih banyak risiko yang memudaratkan? Jawapan ini penting kerana salah laku dan rasuah bukan sahaja merosakkan ekonomi, tetapi juga mencemarkan imej negara.

Beberapa contoh penggunaan teknologi digital yang berpotensi menggalakkan integriti dan membanteras rasuah adalah:

Iklan

1. Sistem e-Procurement. Korea Selatan memperkenalkan Korea Online e-Procurement System yang menggunakan AI dan blockchain untuk mengelakkan manipulasi dokumen dan meningkatkan ketelusan perolehan awam.

2. Blockchain untuk Ketelusan Perbelanjaan. Teknologi blockchain memastikan setiap transaksi direkod secara kekal dan boleh diaudit oleh rakyat. Bayangkan setiap sen dana awam direkod dalam blockchain – rasuah tidak lagi mempunyai ruang untuk bersembunyi.

Iklan

3. AI dalam transaksi. AI digunakan untuk mengesan corak transaksi kewangan mencurigakan dan memberi amaran awal tentang risiko rasuah. SPRM menggunakan AI untuk mengenal pasti konflik kepentingan dan mengesan projek awam berisiko tinggi.

4. Sistem Aduan Digital. SPRM memperkenalkan Corruption Reporting Information System (CRIS) untuk memudahkan rakyat melaporkan rasuah secara berpusat dan selamat.

Risiko dan solusi

Walaupun teknologi digital dan AI menjanjikan kecekapan, inovasi serta ketelusan yang mampu mengukuhkan integriti, ia turut membawa risiko besar jika tidak dikawal.

Salah satu cabaran utama ialah ketelusan yang semakin berkurang. Banyak algoritma AI berfungsi seperti black box, menyebabkan logik keputusannya sukar difahami dan sekali gus membuka ruang manipulasi.

Kebergantungan kepada data juga menjadikan sistem terdedah kepada pemalsuan yang boleh mengubah hasil analisis bagi kepentingan tertentu.

Selain itu, automasi melalui platform digital dan kontrak pintar berpotensi mempercepatkan transaksi haram tanpa semakan manual.

Sistem digital dan AI sekarang juga boleh menyebabkan kes pemalsuan dokumen dan identiti dengan lebih mudah.

Jurang kemahiran dalam kalangan pegawai yang kurang mahir teknologi pula melemahkan pengawasan, manakala ketiadaan piawaian etika AI menjadikan risiko pencabulan integriti semakin tinggi.

Bagi menangani cabaran ini, beberapa langkah penting perlu dilaksanakan. Ketelusan algoritma mesti dipertingkatkan melalui kewajiban pendedahan logik asas dan audit bebas.

Memajukan penggunaan teknologi seperti AI, analitik data, automasi pemeriksaan konflik kepentingan dan blockchain supaya urus niaga tender, transaksi dan keselamatan data lebih sukar untuk dimanipulasi.

Pada masa yang sama, latihan literasi digital untuk pegawai awam perlu diperkasa, disertai pembentukan kerangka etika dan undang-undang yang menekankan integriti serta perlindungan data.

Penglibatan masyarakat melalui platform aduan digital yang telus turut menjadi benteng penting pencegahan salah laku.

Kesimpulannya, digitalisasi hanya akan benar-benar membawa manfaat jika diterajui dengan kawalan yang telus, beretika dan berintegriti.

Digitalisasi bukan sekadar trend, tetapi keperluan mendesak untuk membina negara yang bersih dan berintegriti.

Namun, teknologi hanyalah alat, penggunaannya masih memerlukan manusia yang berprinsip. Jika kita mahu Malaysia bebas rasuah, kita mesti menggabungkan kuasa teknologi dengan nilai integriti. Integriti adalah asas, teknologi adalah senjata.

Ayuh bersama, kita mampu menghapuskan rasuah.

* Profesor Dr Hanim Salleh ialah Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia