Kastam catat kutipan hasil RM73.27 bilion

Iklan
Pencapaian tersebut membuktikan keupayaan kastam mengutip hasil negara secara berkesan.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melepasi sasaran kutipan hasil negara bagi tahun 2025 apabila merekodkan kutipan sebanyak RM73.27 bilion setakat 16 Disember 2025.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pencapaian itu bukan sahaja mengatasi sasaran awal berjumlah RM67.25 bilion, malah turut melepasi unjuran semakan semula RM73.26 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, unjuran hasil semakan semula tersebut ditetapkan pada 10 Oktober 2025 menerusi Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026.

"Sehingga 16 Disember 2025, JKDM berjaya merekodkan kutipan hasil sebanyak RM73.27 bilion, sekali gus mencatat lebihan RM6.02 bilion atau 108.95 peratus berbanding sasaran awal,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Anis Rizana berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan JKDM melaksanakan tanggungjawab mengutip hasil negara secara berkesan, selari dengan keperluan fiskal semasa.

"JKDM akan terus komited meningkatkan kutipan hasil secara berterusan bagi menyokong agenda Malaysia Madani serta menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan negara.

Iklan

"JKDM turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, agensi penguat kuasa serta rakan strategik media atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam memastikan kelancaran kutipan hasil negara,” katanya.