Pertandingan mewarna simbol perjuangan perang rasuah, selamatkan negara

Iklan
10 murid pra sekolah yang dinobatkan menjuarai Peraduan Mewarna Kanak-Kanak Pra Sekolah sempena HARA 2025.

SHAH ALAM - Pertandingan mewarna bukan sekadar aktiviti kreatif tetapi satu simbol kesedaran bahawa perang melawan rasuah mesti dimulakan dari akar umbi.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, perjuangan menentang rasuah tidak boleh menunggu sehingga seseorang dewasa atau memegang jawatan.

Iklan
Iklan

“Ia mesti bermula sejak kecil dari pembentukan nilai, pemahaman dan kesedaran awal tentang makna kejujuran dan amanah.

“Inilah mesej besar yang dibawa melalui Peraduan Mewarna Kanak-Kanak Pra Sekolah sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 anjuran Rasuah Busters Negeri Johor ini,” katanya pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, pertandingan anjuran Rasuah Busters Negeri Johor dengan kerjasama Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia (Johor) dan MCCF itu menyasarkan 100 penglibatan murid pra sekolah seluruh negeri.

Pertandingan tersebut diadakan pada 13 Disember bermula jam 9.30 pagi bertempat di ruang legar Tingkat 1, Kompleks Pengangkutan Awam Bandar Kluang, Johor.

Iklan

Tambah Halim, rasuah hari ini bukan lagi isu terpencil atau kesalahan kecil sebaliknya ia telah menjadi barah paling merosakkan yang mengancam keselamatan negara, kestabilan ekonomi, keadilan sosial dan kedaulatan undang-undang.

Beliau turut menegaskan bahawa negara tidak akan selamat selagi pengamal dan pemberi rasuah terus dilindungi oleh kedudukan, kuasa atau pengaruh politik.

“Rasuah menghancurkan institusi, memiskinkan rakyat dan menjadikan undang-undang sebagai bahan dagangan.

“Justeru, hukuman sedia ada disifatkan tidak lagi mencukupi untuk mengekang jenayah rasuah yang semakin berani dan berleluasa,” katanya.

Halim turut menekankan keperluan hukuman yang lebih berat, keras dan menakutkan dikenakan ke atas semua pesalah rasuah tanpa pengecualian dan tanpa kompromi.

Sebagai perbandingan, beliau merujuk kepada ketegasan China yang tidak berkompromi dalam isu rasuah, termasuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pesalah rasuah.

Ketegasan tersebut, katanya, bukan soal ideologi, tetapi soal kelangsungan sebuah negara dan kepercayaan rakyat.

“Dalam konteks inilah, penganjuran peraduan mewarna dilihat sebagai langkah strategik dan simbolik. Melalui lukisan dan warna, kanak-kanak diperkenalkan dengan nilai kejujuran, keberanian menolak rasuah dan pentingnya integriti sejak usia awal.

“Jika dahulu rakyat Malaysia bersatu menentang ancaman komunis demi mempertahankan kemerdekaan, musuh negara hari ini ialah rasuah.

“Maka, perjuangan ini tidak boleh dipikul oleh kerajaan atau agensi penguat kuasa semata-mata, tetapi wajib digalas oleh seluruh rakyat bermula dari pendidikan awal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua rakyat Malaysia agar berani bersuara, melaporkan sebarang bentuk rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa kepada pihak berkuasa.

Ujarnya, media sosial juga perlu digunakan secara beretika sebagai alat pendedahan demi kepentingan awam, agar kebenaran tidak terus disembunyikan dan rakyat tidak diperdaya.

“Rasuah bukan kesalahan kecil. Ia adalah pengkhianatan terhadap negara, rakyat dan generasi akan datang.

“Jika rasuah gagal dibanteras dengan tegas hari ini, negara ini hanya akan mewariskan kehancuran kepada anak-anak kita pada masa depan anak-anak yang hari ini sedang belajar membezakan antara yang betul dan yang salah melalui sebatang pensel warna,” katanya.

Sementara itu, Presiden Rasuah Busters Negeri Johor, Azmi C Mohd berkata, peraduan mewarna tersebut bukan sekadar aktiviti kreatif untuk kanak-kanak, sebaliknya menjadi platform penting mendidik nilai integriti sejak usia awal.

Menurut beliau, pada peringkat awal pihak penganjur menerima sebanyak 60 penyertaan, namun berlaku sedikit kekangan apabila tarikh program bertembung dengan pendaftaran murid Tahun Satu, menyebabkan jumlah peserta berkurangan kepada 42 orang.

"Walaupun jumlah penyertaan berkurang, misi dan visi penganjuran peraduan ini tetap tercapai. Fokus kami bukan pada angka, tetapi pada impak kesedaran yang ingin disampaikan," katanya.

Azmi menjelaskan, objektif utama peraduan ini bukan hanya melibatkan kanak-kanak, malah turut menyasarkan ibu bapa yang hadir bersama anak-anak mereka.

Melalui program itu, ujarnya, ibu bapa didedahkan kepada bahaya rasuah dalam kehidupan seharian manakala kanak-kanak diberikan pendedahan awal agar membenci rasuah sejak kecil.

“Kami mahu anak-anak membesar dengan kefahaman bahawa rasuah itu salah dan ibu bapa pula memainkan peranan sebagai contoh kepada anak-anak di rumah,” jelasnya.

Mengulas isu rasuah secara lebih luas, Azmi menyifatkan rasuah sebagai penyakit utama negara yang kesannya jauh lebih merosakkan berbanding pandemik Covid-19 yang pernah melanda negara sebelum ini.

Beliau menegaskan, rasuah bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran, malah melemahkan kepercayaan rakyat terhadap institusi dan masa depan negara.

"Jika dahulu kita berhadapan dengan Covid-19, hari ini ancaman rasuah sebenarnya lebih berbahaya. Rasuah menyebabkan pembangunan negara tidak lestari, berlaku ketirisan di pelbagai peringkat, penyalahgunaan kuasa dan akhirnya rakyat yang menanggung kesannya,” katanya.

Azmi turut menyuarakan harapan agar lebih banyak aktiviti seumpama ini dapat dianjurkan pada masa akan datang, khususnya yang melibatkan kanak-kanak dan remaja sebagai sasaran utama.

Menurut beliau, usaha mendidik anak-anak tentang bahaya rasuah merupakan pelaburan jangka panjang demi memastikan masa depan negara yang bersih, adil dan berintegriti.“

Pendidikan anti-rasuah tidak boleh bermusim. Ia perlu dimulakan dari awal dan dilaksanakan secara berterusan supaya generasi akan datang membesar dengan nilai integriti yang kukuh,” katanya.