Pembaharuan besar sektor kewangan negara
Iklan
Kewangan terbuka dibina untuk mengurangkan risiko siber melalui piawaian keselamatan ketat dan penggunaan Application Programming Interfaces (API) yang lebih selamat seperti yang ditetapkan BNM. Gambar kecil: Siti Norbaya
DRAF pendedahan kewangan terbuka (open finance) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggariskan visi ekosistem perkongsian data yang lancar dan berasaskan keizinan pelanggan akan menjadi antara pembaharuan besar dalam sektor kewangan negara.
Jika sebelum ini data pengguna urusan bank, insurans dan pelaburan wujud dalam ‘silo’ berasingan, reformasi ini berpotensi membuka ekosistem lebih telus, cekap dan bersaing sihat.
Iklan
Iklan
Namun sejauh mana perubahan ini mampu membawa sistem kewangan negara ke peringkat seterusnya?
Secara asasnya, kewangan terbuka adalah sistem di mana pengguna mempunyai kuasa penuh untuk mengawal dan berkongsi data kewangan mereka kepada pihak ketiga dengan syarat mendapat persetujuan pengguna sendiri.
Iklan
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Puncak Alam, Dr Siti Norbaya Mohd Rashid, BNM mula menggerakkan agenda ini sekitar 2024 menerusi penganjuran Open Finance Conference and Workshop sebelum meletakkannya sebagai salah satu teras dalam Pelan Induk Sektor Kewangan 2022-2026.
“Melalui open finance, perkongsian data kewangan seperti insurans, pelaburan, pinjaman, e-dompet, caruman takaful dan perkhidmatan kewangan lain boleh dikongsi dengan lebih mudah, selamat dan tersusun.
Iklan
"Antara pihak terlibat termasuk bank, syarikat insurans dan takaful, penyedia e-dompet, institusi pelaburan, syarikat kredit komuniti serta syarikat Fintech yang membangunkan aplikasi pengurusan kewangan," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, kewangan terbuka boleh dianggap sebagai ‘naik taraf’ kepada perbankan terbuka yang hanya melibatkan data perbankan seperti akaun simpanan, kad kredit dan pinjaman.
Kewangan terbuka pula lebih menyeluruh merangkumi ekosistem kewangan seperti insurans, pelaburan dan lain-lain sekali gus memberi gambaran kedudukan kewangan seseorang secara menyeluruh.
Keperluan terhadap pembaharuan ini wajar berikutan majoriti transaksi pengguna hari ini berlaku dalam ruang digital melalui pembayaran tanpa tunai, aplikasi kewangan dan e-dompet.
Sehubungan itu, penting untuk mewujudkan persekitaran selamat supaya data dikongsi melalui saluran sah yang dilindungi bukannya melalui amalan berisiko seperti screen scraping.
"Screen scraping ialah proses menyalin atau mengekstrak maklumat dari sesuatu laman web atau aplikasi secara automatik yang dilakukan oleh program untuk menjadi format data yang boleh digunakan seperti spreadsheet atau pengkalan data.
“Ia melanggar syarat penggunaan kerana melibatkan isu keselamatan dan privasi seperti maklumat bank yang boleh didedahkan data tersebut kepada pihak yang tidak dibenarkan sekali gus meningkatkan risiko butiran kewangan atau data peribadi dicuri dan disalahguna.
"Akses kepada akaun pengguna juga memudahkan aktiviti penipuan dan penyamaran identiti," katanya.
Pindaan Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi 2024 yang diluluskan pada Julai 2024 turut memperkenalkan hak kebolehgunaan data, menjadikan isu keselamatan data semakin relevan.
Dari sudut manfaat, kewangan terbuka membuka peluang kepada institusi kewangan untuk membangunkan produk lebih murah, pantas dan disesuaikan mengikut keperluan individu.
"Penilaian pinjaman misalnya boleh dibuat berdasarkan data kewangan sebenar, bukan semata-mata slip gaji.
“Peniaga kecil misalnya lebih mudah mendapat kelulusan pembiayaan manakala golongan muda boleh memperoleh nasihat kewangan automatik berdasarkan tabiat belanja mereka,” katanya.
Melalui integrasi data, pengguna juga tidak perlu lagi mengisi pelbagai borang untuk memohon produk kewangan berbeza.
Semua akaun dapat dilihat dalam satu aplikasi, memudahkan pengurusan belanjawan dan pemantauan komitmen.
Malah kewangan terbuka boleh membantu menyusun semula hutang dengan mencadangkan pinjaman kadar faedah lebih rendah selain memudahkan penilaian risiko pelaburan.
Risiko scam dan kecurian data turut diberikan perhatian.
Menurut Siti Norbaya, kewangan terbuka dibina untuk mengurangkan risiko siber melalui piawaian keselamatan ketat dan penggunaan Application Programming Interfaces (API) yang lebih selamat seperti yang ditetapkan BNM.
Negara seperti United Kingdom sudah ke hadapan dalam kewangan terbuka dengan melancarkan National Payments Vision pada 2024 bagi memberikan pengguna kawalan lebih besar terhadap data mereka.
Brazil pula antara negara paling maju melaksanakan kewangan terbuka dengan penggunaan Data Quality Motor dan Metrics Collection Platform yang menyokong berbilion panggilan API setiap bulan. Lebih 800 institusi dan 70 juta pengguna kini berada dalam sistem tersebut.
Siti Norbaya berkata, jika Malaysia berjaya melaksanakan kewangan terbuka seperti dirancang sistem kewangan negara bakal menjadi jauh lebih inklusif.
"Semua orang termasuk pekerja gig, peniaga mikro dan pelajar akan mendapat akses lebih adil kepada produk kewangan. Keputusan permohonan kewangan juga boleh dibuat secara automatik berdasarkan data tepat," katanya.
Ujarnya, kewangan terbuka akan merancakkan inovasi dan persaingan antara bank dan syarikat Fintech seterusnya menawarkan produk lebih murah dan berkualiti.
“Paling penting amalan screen scraping yang berisiko dapat dikurangkan melalui kawal selia perkongsian data,” katanya.
Buat masa ini BNM menjemput maklum balas bertulis mengenai keperluan kawal selia yang dicadangkan dalam draf pendedahan ini termasuk cadangan berkaitan isu-isu khusus, bidang yang memerlukan penjelasan atau penghuraian lanjut, serta cadangan alternatif yang wajar dipertimbangkan oleh BNM.
Maklum balas hendaklah bersifat konstruktif dan disokong dengan rasional yang jelas serta bukti, contoh atau ilustrasi yang bersesuaian bagi memudahkan penilaian oleh BNM.
Semua maklum balas mestilah dikemukakan selewat-lewatnya pada 1 Mac 2026.
Manfaat kewangan terbuka
- Buka peluang kepada institusi kewangan untuk bangun produk lebih murah, pantas dan disesuaikan mengikut keperluan individu
- Penilaian pinjaman misalnya boleh dibuat berdasarkan data kewangan sebenar bukan semata-mata slip gaji
- Peniaga kecil misalnya lebih mudah dapat kelulusan pembiayaan manakala golongan muda boleh memperoleh nasihat kewangan automatik berdasarkan tabiat belanja
- Melalui integrasi data, pengguna tidak perlu lagi mengisi pelbagai borang untuk memohon produk kewangan berbeza.
- Semua akaun dapat dilihat dalam satu aplikasi, memudahkan pengurusan belanjawan dan pemantauan komitmen.
- Boleh membantu menyusun semula hutang dengan mencadangkan pinjaman kadar faedah lebih rendah selain memudahkan penilaian risiko pelaburan
- Open Finance dibina untuk mengurangkan risiko siber melalui piawaian keselamatan ketat dan penggunaan Application Programming Interfaces (API) lebih selamat seperti ditetapkan BNM
Hamidah Sulaiman, 51, yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, perjalanan lebih 18 tahun dalam dunia keusahawanan membuktikan industri makanan tradisional masih relevan serta berpotensi besar jika diusahakan secara strategik dan berdisiplin.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/762391/bisnes/daripada-dapur-rumah-ke-kilang-sendiri
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.