BALING - Seorang warga emas maut ditikam cucu sementara ibu mangsa parah akibat ditetak dalam kejadian dalam rumah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, Balai Polis Malau menerima makluman daripada orang awam berhubung kejadian tikam dan tetak membabitkan dua individu lebih kurang jam 7 malam.
Menurutnya, mangsa maut dipercayai berusia 60-an manakala seorang lagi parah berusia 80-an.
"Mangsa yang maut mempunyai kesan tikaman di bahagian belakang badan manakala mangsa yang parah mempunyai kesan tetak di belakang leher.
"Mangsa maut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.
"Bagaimanapun, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi Rabu.
Menurutnya, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan dan akan direman pagi Rabu di Mahkamah Baling.
"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan setakat ini suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati, sepasukan anggota dari Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Siasatan turut dibantu Unit Anjing Pengesan K9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.