Angkat sumpah menteri, timbalan menteri Kabinet esok - PM

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas mengenai Pengumuman Anggota Kabinet Baharu Kerajaan MADANI di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Upacara angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Kerajaan Madani akan diadakan di Istana Negara esok, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan untuk acara angkat sumpah diadakan pada jam 10 pagi.

Iklan
Iklan

"Mesyuarat Jemaah Menteri pula akan diteruskan pada jam 2.30 petang esok,” katanya dalam sidang media pengumuman anggota Kabinet Kerajaan Madani di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, merakamkan penghargaan kepada barisan menteri dan timbalan menteri yang menyumbang bakti dalam Kabinet Kerajaan Madani sebelum ini.

Iklan

"Penghargaan kepada rakan-rakan menteri dan timbalan menteri yang telah menyumbangkan tenaga bakti melalui kementerian dan kepada negara sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio dalam Kabinet Kerajaan Madani.

Iklan

Beliau berkata, pelantikan dan rombakan itu dilaksanakan bagi menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan permasalahan rakyat.

Rombakan Kabinet sulung Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dilaksanakan pada Disember 2023.

Sebelum ini, Kabinet Kerajaan Madani menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri, iaitu jawatan Menteri Ekonomi yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang kosong susulan peletakan jawatan mereka.

Sementara itu, jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang disandang Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kosong selepas beliau tamat tempoh pelantikan sebagai Senator. - Bernama