SHAH ALAM - Anak-anak aktivis terkemuka SM Mohamed Idris membantah dan tidak merestui dengan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelancaran buku mengenang ayah mereka di Kuala Lumpur, semalam.
Anak kepada SM Mohamed Idris, Ayisha, Fathima dan Khatija dalam kenyataan bersama berkata, namun bantahan mereka diabaikan sepenuhnya, malah Anwar tetap diraikan dan diberikan peranan utama sebagai perasmi majlis.
Menurutnya, pihak keluarga tidak pernah memberikan persetujuan untuk Anwar menukilkan kata pengantar, atau terlibat dalam apa jua kapasiti berkaitan buku tersebut memandangkan kes salah laku terhadap cucu arwah, Muhammed Yusoff Rawther.
"Arwah SM Mohamed Idris tidak pernah mencari publisiti, sanjungan atau pengiktirafan. Beliau tidak menumpang kuasa politik untuk mengabsahkan perjuangannya.
"Sepanjang hayatnya, beliau menjauhi pentas, gelaran dan kepentingan diri. Tindakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini adalah penyelewengan nyata terhadap prinsip tersebut, memperalatkan nama dan legasi seorang tokoh berprinsip demi kepentingan institusi dan politik semasa.
"Ini bukan penghormatan tetapi perampasan legasi ayah kami," ujarnya pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, lebih mengecewakan apabila poster promosi acara tersebut turut menyertakan simbol dan logo-logo inisiatif kerajaan dan kebangsaan seperti 'Malaysia MADANI', 'ASEAN Malaysia 2025', dan 'Visit Malaysia 2026'.
Jelasnya, tindakan CAP mengaitkan legasi Mohamed Idris dengan agenda-agenda kerajaan yang tidak relevan adalah tidak wajar.
"Arwah ayah kami tidak pernah dikaitkan dengan inisiatif atau organisasi tersebut. Penggunaan logo-logo ini jelas merupakan satu bentuk komodifikasi dan eksploitasi nama dan jasa beliau demi mengukuhkan imej politik Anwar.
"Cara hina untuk mendapatkan keuntungan politik ini adalah amat tercela, kerana ia memberikan gambaran palsu bahawa legasi arwah bersetuju atau bersekutu dengan inisiatif semasa yang tiada kaitan dengannya," ulasnya.
Mereka memberitahu, pihak penganjur bukan sahaja tidak menghormati sensitiviti waris arwah, malah memilih untuk menutup mata terhadap kezaliman yang sedang dihadapi.
"Jika CAP benar-benar masih berpegang kepada prinsip keadilan yang diperjuangkan oleh salah seorang pengasasnya, CAP wajib menegakkan prinsip keadilan, bukannya mendukung seorang individu telah menyerang ahli keluarga kami dan kini, melengahkan proses undang- undang yang sedang berjalan.
"Kegagalan CAP untuk berbuat demikian akan mengesahkan bahawa organisasi ini telah menyimpang jauh daripada prinsip asalnya dan bahawa legasi Mohamed Idris kini diperalatkan demi kepentingan politik, bukannya keadilan," katanya.