KOTA BHARU - Selepas lapan tahun menderita sakit lutut, seorang warga emas berusia 63 tahun menjadi pesakit pertama menjalani pembedahan penggantian dua sendi lutut serentak menggunakan teknologi robotik di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada Isnin.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, pembedahan dikenali sebagai Robotic-Assisted Bilateral Total Knee Replacement itu melibatkan penggantian kedua-dua implan lutut.
Katanya, HRPZ II kini hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketiga melaksanakan pembedahan arthroplasty menggunakan sistem robotik selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
“Pelaksanaan prosedur ini disokong Unit Arthroplasty HRPZ II yang beroperasi sejak 2008 dan kini mempunyai tiga pakar terlatih dalam bidang penggantian sendi.
“Pesakit pertama ini ialah seorang pesara guru yang mengalami sakit lutut selama lapan tahun dan menjalani prosedur pembedahan dalam tempoh kira-kira dua jam,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Pembedahan Lutut Menggunakan Robotik di hospital itu pada Isnin.
Turut hadir, Pakar Perunding Kanan Ortopedik HRPZ II, Dr Mohd Yusof Ibrahim yang mengetuai pembedahan pertama tersebut.
Dr Mohd Azman memberitahu, penggunaan teknologi robotik membolehkan perancangan pembedahan dilakukan lebih tepat.
“Ketepatan pembedahan menggunakan sistem robotik dianggarkan sehingga 95 peratus, sekali gus membantu mengurangkan risiko ketidakselarasan sendi serta variasi hasil pembedahan berbanding kaedah konvensional.
“Teknologi ini juga memendekkan hingga separuh masa pembedahan dan mengurangkan pendarahan,” katanya.
Katanya, beberapa hospital universiti termasuk Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia turut menggunakan teknologi sama.
Namun katanya, HRPZ II hospital KKM pertama di Kelantan serta Pantai Timur melaksanakan pembedahan penggantian dua lutut serentak menggunakan robot.
“HRPZ II sebelum ini melaksanakan sekitar 150 pembedahan konvensional penggantian sendi setiap tahun dengan 110 prosedur Total Knee Replacement dijalankan termasuk 19 kes pembedahan bilateral,” katanya.