Tiada kelulusan aktiviti haram dalam RXZ Members Ride 3.0 - Exco Melaka

Iklan
Abdul Razak pada acara penutup RXZ Members Ride 3.0 pada Sabtu.

MELAKA - Kerajaan negeri menegaskan bahawa penganjuran RXZ Members Ride 3.0 tidak menghalalkan sebarang aktiviti haram, perlakuan berbahaya atau gangguan terhadap ketenteraman awam.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, tiada sebarang kelulusan diberikan bagi mana-mana perbuatan yang melanggar undang-undang sepanjang penganjuran acara tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, adalah tidak adil untuk menghukum keseluruhan penganjuran acara berskala besar itu hanya berdasarkan tindakan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, sedangkan program berkenaan telah memberi limpahan ekonomi kepada rakyat Melaka sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Hakikatnya, satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah program ini telah memberi manfaat ekonomi yang besar kepada peniaga kecil, industri perhotelan dan pengusaha inap desa di negeri Melaka.

Iklan

“Saya ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan diberikan untuk aktiviti haram, perlakuan berbahaya atau gangguan ketenteraman awam,” katanya membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP Melaka.

Pada Sabtu, DAP Melaka menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk penganjuran acara yang menggalakkan atau membiarkan perbuatan melanggar undang-undang.

Iklan

Menerusi satu kenyataan, pengerusinya, Khoo Poay Tiong berkata, program RXZ Members Ride yang diadakan di negeri ini telah memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya.

Ia susulan maklum balas yang diterima daripada rakyat Melaka mengenai aktiviti menunggang motosikal pada kelajuan tinggi serta pencemaran bunyi, terutama pada lewat malam sehingga menimbulkan gangguan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, kenyataan DAP Melaka yang mengaitkan aktiviti haram tersebut secara langsung dengan penganjuran rasmi acara itu adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, sejak awal penganjuran, kerjasama rapat telah dijalinkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pemantauan serta penguatkuasaan dilaksanakan.

“Tindakan tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa dan kerajaan negeri menyokong sepenuhnya langkah tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru DAP Melaka supaya lebih bertanggungjawab dengan mengemukakan cadangan yang konstruktif dan bukannya mengeluarkan kenyataan bersifat populis yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan negeri memajukan sektor pelancongan.

“Dalam ucapan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sepanjang dua hari penganjuran, beliau acap kali menegaskan bahawa walaupun kelonggaran diberikan, keselamatan serta larangan melakukan aktiviti tidak bermoral di atas jalan raya tetap diutamakan.

“Namun, ucapan ini pastinya tidak didengari oleh pihak DAP yang tidak langsung hadir ke program ini,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran acara komuniti yang membawa manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat Melaka, namun tidak akan sesekali berkompromi dalam soal keselamatan serta pematuhan undang-undang.