PEKAN - Seorang pelajar sebuah maahad tahfiz maut selepas kereta dipandunya bertembung lori membawa muatan sawit di Kilometer 60 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Merchong, Nenasi di sini pada Sabtu.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11.05 malam itu, mangsa, Muhammad Fakhri Waqiuddin Basri, 22, dari Bandar Indera Mahkota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pemandu lori berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dipercayai dalam perjalanan dari arah Pekan menghala ke Rompin manakala lori membawa muatan sawit dari arah bertentangan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.
"Akibat dari kemalangan tersebut mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat," katanya.
Mohd Zaidi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi ke lokasi kemalangan yang jaraknya kira-kira 15 kilometer dari balai selepas menerima panggilan.
Menurutnya, dalam kemalangan itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi tersepit dalam kenderaannya manakala pemandu treler selamat.
"Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat bagaimanapun lelaki itu disahkan meninggal dunia," katanya.