PATI sanggup sembunyi atas bumbung, elak dicekup

Iklan
Seramai 49 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

 

JOHOR BAHRU – Tindakan nekad beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba melarikan diri dengan bersembunyi di atas bumbung bangunan didapati gagal apabila taktik itu di kesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor yang melakukan serbuan mengejut di kawasan Johor Jaya, awal pagi Sabtu.

Iklan
Iklan

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Sapu bermula pada kira-kira jam 12.10 tengah malam itu melibatkan 24 pegawai dan anggota penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor.

Jelas beliau, serbuan dijalankan hasil risikan dan aduan awam mengenai kehadiran warga asing yang dipercayai menetap serta bekerja secara haram di rumah kedai dan rumah kediaman sekitar kawasan berkenaan.

Iklan

"Ketika serbuan dijalankan, sebahagian warga asing terbabit cuba meloloskan diri dengan memanjat dan bersembunyi di bahagian atas bumbung bangunan, namun berjaya dikesan serta diberkas oleh pasukan penguat kuasa.

“Hasil operasi ini, seramai 49 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Warga asing yang ditahan di bawa ke Depot Imigresen Setia Tropika.

 

Menurut Mohd Rusdi, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki warga Indonesia, 12 lelaki warga Myanmar, 11 lelaki warga Pakistan, lapan lelaki warga Bangladesh, 12 wanita warga Myanmar serta empat wanita warga Indonesia, berusia antara 20 hingga 49 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan individu terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan lanjut serta tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, JIM Negeri Johor menegaskan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.