5km turun naik bukit tanpa jemu

Iklan
Sampah yang dikumpul Nik Muhammad Adib dari puncak Bukit Panau.

KOTA BHARU - Demi memastikan lokasi pendakian Bukit Panau di Tanah Merah kekal bersih, seorang datuk kepada tiga cucu sanggup mendaki bukit itu setinggi 396 meter setiap minggu semata-mata untuk mengutip sampah dan botol minuman yang ditinggalkan pendaki lain.

Nik Muhammad Adib Nik Mustapa, 61, melalui perjalanan hampir lima kilometer ke puncak dan kembali ke kaki bukit untuk membersihkan laluan tersebut yang dikunjungi ribuan pendaki terutama pada hujung minggu.

Iklan
Iklan

Nik Muhammad Adib (dua dari kanan) yang menerima anugerah pada Isnin.

Guru tuisyen Matematik sepenuh masa itu berkata, usaha membersihkan Bukit Panau sudah menjadi rutin sejak 2015, didorong didikan datuk dan neneknya yang menekankan kebersihan sebagai sebahagian daripada akhlak hidup.

Iklan

“Saya diajar kecil-kecil dulu, kalau tengok sampah jangan biar.

“Di Bukit Panau ni ramai datang melihat keindahan alam termasuk awan karpet, tapi tak segan tinggalkan botol dan plastik merata, jadi saya kutip setakat yang mampu,” katanya selepas menerima Anugerah Ikon Kebersihan Komuniti sempena Hari Sambutan Kelantanku Bersih 2025 di Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Iklan

Sampah-sampah yang sering kali ditinggalkan pendaki Bukit Panau.

Nik Muhammad Adib memilih untuk mendaki pada Jumaat, Sabtu dan cuti sekolah, sekitar 10 pagi hingga 12 tengah hari iaitu selepas kebanyakan pendaki selesai mendaki awal pagi.

Setiap minggu, dia menurunkan empat plastik sampah bersaiz besar dan antara paling kerap ditemuinya ialah botol minuman, plastik makanan, sisa pembalut serta tapak kasut tercabut selain serpihan barangan yang dibuang sesuka hati.

Nik Muhammad Adib sendiri menyediakan 24 tong sampah di laluan pendakian, namun dua hilang manakala satu lagi dihancurkan, dipercayai akibat perbuatan vandalisme.

Tong sampah yang disediakan Nik Muhammad Adib di Bukit Panau.

“Kadang-kadang saya tak faham, tong sampah pun ada yang sanggup rosakkan.

“Tapi saya tak putus asa, saya buat sambil bergembira dan bernyanyi bersama radio selain anggap ini sebagai ibadah,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu juga tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan baginya, perkara yang dilakukan itu bukanlah mengharap penghargaan tetapi amanah menjaga keindahan alam.

“ALLAH itu bersih, suka kebersihan, kecantikan dan kita wajib jaga pemberian ALLAH ini,” katanya.