STOCKHOLM - Seorang ahli muzik menghabiskan masa selama enam bulan untuk 'mengajar' sotong kurita peliharaannya bermain piano.
YouTuber dari Sweden, Mattias Krantz turut berkongsi pencapaian haiwan digelar Takoyaki tersebut.
Menurut Krantz, dia membeli Takoyaki atau Tako pada Mac lalu.
"Saya mengambil masa agak lama untuk mendapatkan kepercayaan Tako. Ia akhirnya berkebolehan untuk bermain piano ciptaan saya walaupun pada mulanya agak kekok," katanya.
Tako semakin teruja selepas saya memasang 'crab elevator' dalam akuarium yang menempatkannya.
Peranti itu akan mengeluarkan ketam yang menjadi hidangan kegemarannya setiap kali not dimainkan.
Krantz kemudiannya mula bermain gitar untuk 'berkolaborasi' dengan Tako walaupun lagu yang dihasilkan haiwan itu agak caca marba.
"Ia satu perkara yang paling hebat pernah saya buat. Saya tidak menyangka dapat 'melatih' seekor sotong kurita," ujarnya lagi. - Agensi