SMC perkenal pengimbas CT pengiraan foton pertama Malaysia

Iklan
Pengasas Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah (tujuh dari kiri) mengiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (lima dari kanan) merasmikan majlis memperkenalkan pengimbas CT pengiraan foton permata di Malaysia. Nota: Gambar hanya replika pengimbas CT digunakan untuk majlis pelancaran (masukkan sekali)

PUSAT Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencatat sejarah baharu apabila menjadi hospital pertama di Malaysia memperkenalkan pengimbas CT pengiraan foton, sekali gus menetapkan penanda aras terbaharu dalam pengimejan diagnostik negara.

Teknologi generasi baharu itu menawarkan resolusi ultra tinggi untuk pelbagai fungsi klinikal termasuk kardiologi, neurologi, onkologi, muskuloskeletal, pediatrik dan pulmonologi, selain mengurangkan pendedahan radiasi serta meningkatkan keyakinan diagnostik.

Iklan
Iklan

Langkah ini sekali gus mengukuhkan kedudukan SMC sebagai peneraju inovasi penjagaan kesihatan di Malaysia, selari pelaburan berterusan hospital berkenaan dalam penyelesaian diagnostik berteknologi tinggi.

CT pengiraan foton menghasilkan imej lebih tepat, tajam dan terperinci apabila ia mengesan setiap foton X-ray secara individu.

Iklan

Keupayaan itu membantu pakar klinikal mengesan variasi tisu halus, struktur kecil dan lesi dengan ketepatan luar biasa, sambil mengurangkan dos radiasi yang diterima pesakit.

Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway (SHG), Datuk Lau Beng Long berkata, pengenalan CT pengiraan foton selaras dengan misi kumpulan itu memberikan tahap penjagaan tertinggi melalui inovasi.

Iklan

“Kami memperkasakan pakar klinikal dengan alat diagnostik canggih yang meningkatkan ketepatan, menyokong keputusan klinikal lebih yakin dan menambah keselesaan pesakit.

"Kejayaan ini mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan standard penjagaan kesihatan bertaraf dunia kepada pesakit,” ujarnya pada majlis pelancaran pengimbas CT pengiraan foton itu di Sunway Sanctuary Suites di sini pada Khamis.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengasas Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Teknologi itu dibangunkan hasil penyelidikan berdekad oleh Siemens Healthineers, termasuk beberapa pendekatan baharu dalam pengesanan CT pengiraan foton.

Pengarah Urusan Siemens Healthineers Malaysia, Siow Ai Li pula berkata, CT pengiraan foton ialah pendekatan baharu dalam pengimejan diagnostik global.

"Kami berbangga bekerjasama dengan Pusat Perubatan Sunway untuk membawa teknologi ini ke Malaysia.

"Bersama-sama, kami membuka lembaran baharu diagnostik tepat yang membantu pakar membuat keputusan rawatan dengan lebih cepat dan yakin,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Pakar Perunding Kanan Radiologi Intervensi SMC, Dr Adam Pany Abdullah, teknologi baharu ini benar-benar mengubah pendekatan rawatan.

“CT pengiraan foton secara asasnya mengubah apa yang kita dapat lihat dan cara kita merawat pesakit. Dengan resolusi ultra-tinggi, kami dapat mengesan lesi kecil dan perubahan halus dengan jelas.

"Imbasan yang cepat pada dos rendah bermakna pemeriksaan yang lebih selamat serta selesa, termasuk untuk kanak-kanak dan warga emas. Bagi doktor, ia meningkatkan aliran kerja dan keyakinan diagnostik,” ujarnya.

Sistem berkenaan turut disokong teknologi pengimejan spektrum canggih, kecerdasan buatan myExam Companion dan GO Technologies, bagi memastikan hasil imbasan konsisten dan berkualiti tinggi.

Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, SMC terus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa.

Hospital itu tersenarai dalam 350 Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek, diiktiraf sebagai Hospital Nombor 1 Malaysia 2025, serta berada dalam senarai 250 Hospital Terbaik Dunia 2024 dan 2025.

Penggunaan CT pengiraan foton baharu ini mengukuhkan lagi peranan SMC dalam menyediakan diagnostik bertaraf dunia yang lebih selamat, selesa dan tepat kepada pesakit serta pakar klinikal.

Bagaimanapun, Siemens Healthineers dalam kenyataan menjelaskan bahawa keputusan yang dicapai berdasarkan persekitaran pelanggan tertentu.

Pelbagai faktor seperti saiz hospital, jenis kes, sampel dan tahap penggunaan IT atau automasi mungkin mempengaruhi hasil, dan tidak menjamin keputusan sama di tempat lain.