Pengarah syarikat mohon maaf jual produk alat pernafasan tiruan 3M

Iklan
Dua pengarah Jin Sheng Technology Sdn Bhd, Goh Kok Yong dan Toh Siew Lay memohon maaf secara terbuka selepas mengedar, membekal, mempromosi dan menjual respirator tiruan serta penapis partikel menggunakan tanda dagangan 3M tanpa kebenaran.

SHAH ALAM - Sebuah syarikat di Selangor diserbu pihak berkuasa selepas didapati menjual dan mempromosi alat pernafasan tiruan menggunakan jenama Minnesota Mining and Manufacturing Company (3M), pengeluar respirator serta produk keselamatan terkenal dari Amerika Syarikat.

Dua pengarah Jin Sheng Technology Sdn Bhd, Goh Kok Yong dan Toh Siew Lay memohon maaf secara terbuka atas kesalahan berkenaan.

Iklan
Iklan

Tindakan itu susulan serbuan bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 28 Ogos 2024 terhadap kegiatan syarikat yang mengedar, membekal, mempromosi dan menjual respirator tiruan serta penapis partikel menggunakan tanda dagangan 3M tanpa kebenaran.

“Kami dengan penuh kesal memohon maaf secara terbuka kepada 3M atas pelanggaran hak cap dagang berdaftar syarikat itu serta tindakan yang mengelirukan pengguna sehingga mempercayai barangan tiruan berkenaan sebagai produk tulen.

Iklan

“Kami mengakui perbuatan tersebut menjejaskan imej, reputasi dan nilai komersial 3M,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pihak syarikat turut menyatakan bahawa semua aktiviti pengedaran, penjualan dan urusan berkaitan barangan tiruan telah dihentikan.

Iklan

“Kami memberikan jaminan untuk tidak mengulangi sebarang pelanggaran hak harta intelek 3M. Selain permohonan maaf, ganti rugi juga telah dibayar kepada 3M.

“Kami mengesahkan 3M ialah pemilik sah cap dagang ‘3M’ dan memahami syarikat akan terus mengambil tindakan sivil atau pendakwaan jenayah terhadap pihak yang terlibat dengan produk tiruan di Malaysia,” kata pihak syarikat.

Untuk melaporkan sebarang respirator 3M tiruan, orang ramai boleh membuat aduan melalui go.3M.com/myverify.