KOTA KINABALU - Selepas beberapa kali berubah pendirian sejak keputusan Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akhirnya memuktamadkan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Perpaduan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, keputusan menyokong kerajaan negeri itu dibuat berdasarkan kehendak majoriti ahli dan ketua-ketua bahagiannya yang mahukan kestabilan politik demi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.
Katanya, situasi politik selepas pilihan raya menyaksikan GRS tidak memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan bersendirian, sekali gus memerlukan kerjasama lebih luas bagi mengekalkan keutuhan pentadbiran.
"GRS mencadangkan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik, yang juga menjadi kehendak STAR.
"Oleh itu, adalah wajar untuk menyokong kerajaan perpaduan ini. Lagipun, pilihan raya sudah selesai dan kini tiba masanya untuk berkhidmat untuk rakyat," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau menegaskan keputusan itu tidak membawa maksud STAR meninggalkan asas perjuangannya.
Menurutnya, parti itu kekal konsisten memperjuangkan hak Sabah tanpa mengira sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang.
Bagaimanapun, Jeffrey menegaskan kedudukannya sebagai pembangkang tidak berubah walaupun seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu iaitu, Datuk Ishak Ayub dilantik sebagai pembantu menteri.
"Kita bukan duduk dalam GRS, kita bantu GRS tubuh kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik selepas PRU17 sebab itulah yang rakyat inginkan berpandukan kepada keputusan pilihanraya," tegasnya.