UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) melancarkan Persimpangan Bertingkat Gerbang Nusajaya yang meningkatkan akses terus ke Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura selain mengukuhkan kesalinghubungan di Iskandar Puteri.
Projek bernilai RM166.4 juta dibangunkan secara bersama anak syarikat UEM Sunrise, Nusajaya Rise Sdn Bhd dengan kerjasama Leisure Farm Corporation Sdn Bhd itu akan dibuka secara rasmi untuk kegunaan orang awam pada Sabtu, 13 Disember 2025 jam 12 malam.
Terletak di pintu masuk barat Iskandar Puteri dan kira-kira lima kilometer dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Abu Bakar (CIQ), projek ini juga meningkatkan akses ke kawasan kediaman, komersial dan industri di sekitar termasuk Nusajaya Tech Park (NTP) dan Southern Industrial and Logistics Clusters (SILC) yang secara kolektif menyokong tenaga kerja yang besar dan semakin berkembang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise,Shaharul Farez Hassan berkata, di Iskandar Puteri, fokus syarikat adalah mewujudkan infrastruktur yang menyokong cara hidup, bekerja dan bergerak setiap hari.
“Persimpangan Bertingkat Gerbang Nusajaya adalah pemangkin utama bagi 'township' ini.
“Ia memperkukuh akses ke Lebuhraya Laluan Kedua, menyokong aktiviti perniagaan yang berkembang di bawah JS-SEZ dan meningkatkan mobiliti bukan sahaja di township kami tetapi juga township sekitarnya seiring dengan kematangan Iskandar Puteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor pada Khamis.
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP),Hasrin Kamal Hashim.
Menurut Shaharul Farez, persimpangan ini menjadi sebahagian daripada Gerbang Nusajaya, 'township' bersepadu seluas 4,471 ekar dengan nilai pembangunan kasar jangka panjang (GDV) sebanyak RM45.0 bilion.
“Ia menghubungkan kawasan perumahan sedia ada dengan fasa pembangunan akan datang termasuk lebih 2,900 unit kediaman dan komponen komersial yang dijadualkan sehingga 2026.
“Trend pasaran terkini menunjukkan permintaan yang berterusan, dengan fasa terakhir Aspira Hills habis ditempah dalam beberapa minit selepas pelancaran hasil minat tinggi daripada pemilik rumah dan profesional rentas sempadan,” katanya.
Menampilkan persimpangan bertingkat rekaan trumpet sebagai ciri utama, persimpangan baharu itu akan memudahkan aliran trafik, meningkatkan keselamatan jalan raya dan membolehkan masa perjalanan yang lebih boleh dijangka termasuk anggaran perjalanan 15 minit ke Tuas Checkpoint, Singapura.
Ia juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan halangan logistik, mengukuhkan akses rentas sempadan dan meningkatkan daya saing Johor untuk pelabur, perniagaan dan bakat.
Sehingga suku ketiga tahun ini, Johor mencatat nilai pelaburan tertinggi di Malaysia iaitu RM91.1 bilion menunjukkan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap trajektori pertumbuhan negeri.
Pada masa sama, dengan pembukaan Persimpangan Bertingkat Gerbang Nusajaya, UEM Sunrise meneguhkan lagi peranan Iskandar Puteri sebagai Flagship B JS-SEZ.