MACHANG - Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut manakala empat lagi cedera termasuk seorang orang awam dalam kemalangan membabitkan sebuah trak lima tan dan Proton Wira di Kampung Bukit Belah di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.51 petang itu, kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai bertembung dengan trak tentera sebelum salah seorang anggota ATM meninggal dunia di lokasi.
Iklan
Iklan
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fadzil Musa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang sebelum bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera bersama enam anggota.
Menurut beliau, setibanya di lokasi pada jam 6.58 petang, pasukannya mendapati pemandu Proton Wira, tersepit dan cedera parah.
"Manakala tiga lagi anggota ATM turut mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita.
Ujar beliau, mangsa yang meninggal dunia di lokasi disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).