SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Pakatan Harapan (PH) menubuhkan pasukan petugas khas atau ‘task force’ bagi menganalisis punca kemerosotan sokongan pengundi Cina dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, saranan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu pada Rabu yang membincangkan beberapa isu semasa, terutamanya perkembangan PRN Sabah, pentadbiran Kerajaan Madani dan pengurusan parti Amanah serta PH.
"Amanah berpandangan penurunan sokongan pengundi Cina dalam PRN Sabah di kerusi-kerusi yang ditandingi PH adalah masalah dan tanggungjawab bersama semua parti anggota gabungan ini.
"Oleh itu, Amanah mencadangkan supaya satu task force dibentuk oleh PH untuk menganalisis punca kemerosotan dan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil oleh PH untuk menanganinya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam PRN Sabah ke-17 pada 29 November lepas, prestasi PH mengecewakan apabila hanya seorang daripada 22 calonnya menang ekoran kehilangan sokongan besar daripada pengundi tegar kaum Cina.
Satu-satunya kemenangan gabungan itu datang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ‘payung terjun’ dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
DAP turut menunjukkan prestasi buruk apabila kalah semua lapan kerusi yang dimenanginya pada PRN 2020, manakala Amanah juga gagal bertapak di Malaysia Timur berbanding Pas yang berjaya mencipta sejarah tersendiri.
Khalid menjelaskan, Amanah mengakui dan menghargai kejayaan Kerajaan Madani melaksanakan banyak inisiatif untuk rakyat namun pelaksanaan inisiatif-inisiatif itu dilihat masih gagal mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan atas sebab-sebab tertentu.
Justeru, menurutnya, Amanah berpandangan Kerajaan Madani perlu meningkatkan usaha penerangan kepada rakyat bukan sahaja melalui agensi-agensi kerajaan, tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO) dan jentera penerangan parti-parti Kerajaan Perpaduan sendiri.
Katanya, semua entiti komunikasi PH perlu diperkasakan dan diselaraskan di bawah satu badan yang dibentuk oleh PH.
"Amanah turut menyarankan agar kerajaan memperbanyakkan libat urus dengan parti-parti politik dan wakil-wakil masyarakat dalam proses menggubal inisiatif dan polisi kerajaan sebelum ia dilaksanakan.
"Proses libat urus ini dapat membantu kerajaan memahami kehendak rakyat dalam sesuatu persoalan serta mengelakkan kesan tidak diingini daripada pelaksanaan sesuatu inisiatif," ujarnya.
Katanya, pada masa yang sama, libat urus tersebut memberi peluang kepada rakyat untuk memahami hasrat dan matlamat kerajaan dalam menggubal inisiatif berkenaan.