REMBAU - Kawan baik kepada pengawal peribadi yang maut ditembak di dalam kereta kejadian di Jalan Rasah menghala ke Plaza Tol Port Dickson di sini meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut.
Dalam kejadian antara jam 7 hingga 7.30 pagi itu, Azrul Fariz Kamarul Baharin, 43 disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Menurut Nizam Hashim, pelbagai andaian yang timbul di media sosial bukan saja telah mengguris hati keluarga Allahyarham, malah rakan-rakan.
"Pada netizen di luar sana, tolong jangan anggap yang bukan-bukan. Ada yang kata bawa dadahlah, itulah, inilah...tolong ye.
"Kalau tak tahu cerita, jangan buat spekulasi macam-macam. Arwah bekerja sebagai pengawal peribadi menjaga nyawa orang, mencari rezeki untuk anak, bini," katanya ditemui Sinar Harian di Jabatan Forensik Hospital Rembau di sini pada Khamis.
Dia yang juga pengawal peribadi turut meminta semua pihak supaya tidak terus tularkan gambar dan video Allahyarham yang sedang nazak di dalam kereta bagi menghormati pihak keluarga.
Tambahnya, sepanjang hampir 15 tahun mengenali Allahyarham, dia sememangnya komited pada tugasnya.
"Kita tak minta semua ini jadi macam ini, tapi inilah kerja seorang pengawal peribadi.
"Kalau bos tak meninggal, kita yang meninggal seperti mana yang terjadi kepada kawan saya kerana prinsipal kita adalah menjaga nyawa majikan.
"Dalam kejadian yang berlaku, arwah menjaga majikannya sehingga ke titisan darah yang terakhir," katanya.
Selain itu ujar Nizam, Allahyarham merupakan seorang teman yang baik dan bukan saja bertanggungjawab kepada keluarga, tetapi sangat prihatin terhadap kawan-kawan.
Paling menyentuh hatinya apabila mengetahui yang Allahyarham telah pun mengambil cuti untuk menghadiri hari anugerah sekolah anaknya yang berusia 12 tahun Sabtu ini, namun semua itu tidak kesampaian.
"Isteri arwah yang maklumkan mengenai itu kepada saya. Tapi hasratnya nak raikan anaknya tak kesampaian, mereka ada lima anak berusia lapan hingga 21 tahun.
"Kerja kami ini risikonya tinggi, tapi arwah ini hanya fikir nak cari rezeki untuk keluarga dan pengakhiran dia begini. Jadi saya minta sangat janganlah, cakap macam-macam," katanya.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Rembau apabila isteri Allahyarham tidak dapat menahan kesedihan berdepan kehilangan suami tercinta.
Wanita itu terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga dan anak-anak, sehingga terpaksa diangkat dibawa masuk ke dalam kereta.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke masjid di Cheras, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas ditembak ketika berada di dalam kereta dalam kejadian di Jalan Rasah.
Mangsa yang maut berusia 43 tahun dan dipercayai bekerja sebagai pengawal peribadi disahkan meninggal dunia pada jam 12.50 tengah hari, Rabu.
Seorang lagi mangsa berusia 47 tahun dilaporkan mempunyai 15 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.