Nafi desakan 'turun' Muhyiddin, sidang media tidak wakili pendirian rasmi Bersatu Perak

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu dan kenyataan bersama Ketua-ketua Bahagian Bersatu Perak yang dikeluarkan pada Khamis.

IPOH - Desakan 14 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak agar Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan presiden tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan parti negeri.

Dalam satu kenyataan bersama, Ketua-ketua Bahagian Bersatu negeri menjelaskan, semakan dibuat mendapati, hanya sembilan ketua bahagian terlibat dalam sidang media diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin manakala selebihnya bukan pemegang jawatan ketua bahagian.

Iklan
Iklan

"Individu lain yang hadir adalah atas kapasiti peribadi dan tidak boleh dianggap sebagai pendirian kolektif kepimpinan bahagian di Perak," menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan media pada Rabu berhubung desakan 14 bahagian Bersatu Perak yang mahu Muhyiddin berundur atas alasan kegagalan dalam menangani kemelut dalaman yang melanda parti ketika ini.

Iklan

Kenyataan sama itu berkata, tindakan membawa isu dalaman parti ke ruang awam melalui sidang media terbuka adalah tidak wajar serta bercanggah dengan disiplin parti.

Mereka menegaskan, sebagai ahli MPT Bersatu, Zainol Fadzi seharusnya menyalurkan sebarang pandangan atau perbezaan pendirian melalui Mesyuarat Pimpinan Tertinggi, bukan dengan cara yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi.

Iklan

“Tindakan tersebut menjejaskan imej parti dan memberi persepsi tidak tepat mengenai kestabilan serta kesepaduan kepimpinan Bersatu di Perak. Keadaan ini hanya menguntungkan pihak lawan,” kata kenyataan itu lagi.

Seramai 14 ketua bahagian yang menandatangani kenyataan tersebut turut menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu serta komited memperkukuhkan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

Mereka yang menyokong kenyataan itu ialah Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun); Dr Hashim Bujang (Kuala Kangsar); Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (Tanjong Malim); serta ketua-ketua bahagian dari Batu Gajah, Ipoh Barat, Bagan Datuk, Taiping, Lenggong, Lumut, Parit Buntar, Sungai Siput, Gerik, Beruas dan Parit.