Syed Saddiq tiba di mahkamah, rayuan terakhir pendakwaan  

Iklan
Syed Saddiq yang memakai kot berwarna hitam hadir di Mahkamah Persekutuan di sini bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan.

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan di sini pada jam 8.26 pagi Khamis, bagi prosiding rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya berhubung empat kes menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Syed Saddiq, 33, yang memakai kot berwarna hitam hadir dengan ditemani dua penyokongnya. 

Iklan
Iklan

Itu merupakan peluang terakhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan berkenaan dalam prosiding yang ditetapkan selama dua hari sehingga Jumaat, di hadapan panel hakim yang jumlah dan namanya hanya akan diketahui semasa prosiding berlangsung dijangka bermula 9 pagi.

Kes bermula dengan pasukan pendakwaan selaku perayu membentangkan hujahan bagi memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Iklan

Kesemua pertuduhan melibatkan satu kes subahat pecah amanah membabitkan dana RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta berjumlah RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing melibatkan RM50,000.

Jika mahkamah menolak rayuan pendakwaan, Syed Saddiq akan dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada semua sabitan dan hukuman.

Iklan

Sebaliknya, jika panel hakim menerima rayuan, beliau akan berdepan semula hukuman penjara, sebatan dan denda yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Prosiding diteruskan dengan hujahan pihak pembelaan diketuai oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang memohon agar keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan, sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.

Terdahulu pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid mensabitkan Syed Saddiq atas keempat-empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta.

Bagaimanapun pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin mendapati pertuduhan terhadapnya tidak berasas.

Mahkamah turut menyatakan bahawa tindakan memberi arahan untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan dana.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali (Penolong Bendahari Armada Bersatu) yang diamanahkan dengan dana RM1 juta untuk melakukan pecah amanah di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kedua membabitkan kesalahan menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, antara 8 hingga 21 April 2018 yang dilakukan di Maybank Taman Pandan Jaya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Dua lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram melibatkan pemindahan RM50,000 setiap satu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera milik tertuduh, dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018 di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru.

Ia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLA 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Penyanyi dan pelakon Bella Astillah pula menyusul di belakang ahli politik itu beberapa minit kemudian.