KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan tujuh saksi termasuk ahli keluarga kepada tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal Melaka bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ahli keluarga terbabit hadir ke Bukit Aman pada jam 10.30 pagi Rabu.
"Keterangan mereka diambil dengan kehadiran tiga peguam. Selain itu, sebuah telefon bimbit dipercayai mengandungi rakaman audio yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes itu telah diserahkan oleh salah seorang ahli keluarga kepada polis.
"Sampel suara salah seorang saksi juga diambil dengan bantuan Cyber Security Malaysia (CSM) bagi tujuan analisa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kumar berkata, pasukan siasatan khas telah merekodkan percakapan seramai tujuh saksi terdiri daripada tiga ahli keluarga itu dan empat pegawai perubatan.
"Siasatan kini diambil alih sepenuhnya oleh pasukan siasatan khas, JSJ Bukit Aman akan dikendalikan secara adil dan profesional berdasarkan undang-undang sedia ada.
"Polis komited dalam memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan bagi menjamin keadilan tanpa berpihak kepada mana-mana individu dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku," tegasnya.
Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada jam 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan berkata, kesemua suspek daripada Geng Durian Tunggal itu dipercayai dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.
Bagaimanapun pada 3 Disember lalu, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan bahawa mangsa bertindak ganas dengan menyerang pasukan keselamatan.
Susulan itu pada 4 Disenber Kumar dilaporkan berkata, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki terbabit yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.