Keluarga Daim dapat perintah larangan bersuara sementara isu lucut hak harta

Iklan
Allahyarham Tun Daim

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu membenarkan permohonan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin, untuk mendapatkan perintah larangan bersuara sementara berhubung permohonan mendapatkan perintah untuk melucut hak harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam, Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili keluarga bekas Menteri Kewangan itu berkata, perintah larangan bersuara itu dibuat supaya butiran mengenai identiti pihak yang dinamakan dan harta berkenaan tidak didedahkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perintah berkenaan termasuk larangan menyiarkan nama individu, nombor akaun bank dan maklumat lain yang bersifat peribadi.

"Bukan mengenai prosiding tetapi maklumat peribadi berkaitan isu sensitif tidak boleh didedahkan kerana boleh menjejaskan anak guam," katanya.

Iklan

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha tidak membantah permohonan larangan bersuara itu.

Hakim, Rosli Ahmad kemudian membenarkan permohonan perintah larangan bersuara dan menetapkan pada 4 Februari 2026 untuk pihak ketiga yang berkepentingan hadir ke mahkamah.

Iklan

Menerusi notis permohonan yang difailkan pada 28 November lalu, pihak pendakwaan memohon perintah untuk melucut hak harta terbabit, termasuk arahan untuk menyiarkannya dalam Warta mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM bagi memanggil mana-mana individu yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan.

Pihak berkepentingan itu hendaklah menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak patut dilucut hak dan seterusnya memohon mahkamah melucut hak harta itu di bawah Seksyen 41(3) akta sama.

Permohonan itu juga menyatakan, Pendakwa Raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah telah berpuas hati bahawa harta itu yang telah disita oleh SPRM dilucut hak, di mana tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta berkenaan.

Ia juga menyatakan bahawa harta terbabit berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM (gagal mematuhi notis mengisytiharkan harta).

Sementara itu, Nizamuddin berkata, permohonan ini tidak menyatakan kesalahan yang didakwa dilakukan mengikut Akta SPRM atau undang-undang bertulis yang berkaitan, melainkan tuduhan berkaitan pematuhan tatacara siasatan di bawah Seksyen 36.

Nizamuddin berkata, siasatan terhadap keluarga Daim dimulakan hampir tiga tahun sejak Februari 2023 lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang jawapan diterima di sebalik semua usaha anak guamnya untuk mendapatkan penjelasan terbuka.

Menurutnya, kegagalan dan salah guna kuasa secara berterusan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai pematuhan terhadap kedaulatan undang-undang.

Katanya, SPRM selaku sebuah agensi penguatkuasaan, ia perlu menjalankan kuasa mengikut kedaulatan undang-undang dan tidak terus menindas anak guam.

"Anak guam kami berharap mereka tidak terus menjadi sasaran salah guna kuasa oleh badan penguatkuasaan apabila isu yang membabitkan kerajaan timbul.

"Anak guam kami percaya sebarang salah guna kuasa atau tindakan untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada isu sebenar kepimpinan negara adalah satu pembaziran wang rakyat, masa penjawat awam dan juga mahkamah," katanya menerusi kenyataan media.