Anggota Rela dengar wanita minta tolong sebelum senyap

Iklan
Anggota bomba menunggu pakar patologi untuk membuat pemeriksaan ke atas mayat kedua-dua beranak yang maut dalam kebakaran pada Rabu. Gambar kecil: Suppamal.

BUTTERWORTH-"Saya dengar wanita jerit minta tolong, sekali sahaja, selepas itu senyap."

Demikian cerita anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), S Suppamal, 52, yang menyaksikan kebakaran sebuah rumah yang meragut nyawa dua beranak di sini pada pagi Rabu.

Iklan
Iklan

Suppamal berkata, dia pergi ke kawasan berhampiran lokasi kejadian untuk menghadiri mesyuarat kuil pada kira-kira jam 8.30 pagi.

"Setiap minggu, dalam dua kali saya akan datang ke kawasan ini untuk ke kuil. Pagi tadi, ketika saya lalu sini, saya ada bau hangit tetapi tak nampak asap atau api.

Iklan

"Jadi saya ingat orang bakar sampah. Saya pun buat tidak tahulah. Tetapi ada seorang kawan beritahu bau itu datang dari sebuah rumah di sini, jadi saya terus datang ke sini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Rabu.

Tambahnya, setelah mengetahui kejadian itu, dia terus melompat pagar berkenaan dan masuk ke halaman rumah terbabit untuk membantu.

Iklan

"Ketika saya di halaman rumah, saya lihat asap tebal dan api marak dalam rumah. Ketika itu, saya dengar jeritan seorang wanita meminta tolong. Sekali saja, lepas itu senyap.

"Saya juga ternampak seorang lelaki sedang berusaha menggoncang pintu besi rumah tetapi saya tak mampu nak tolong kerana api sangat marak. Saya ada ambil payung untuk pecahkan tingkap tetapi tak berjaya untuk masuk kerana ia berkunci," ujarnya.

Bercerita lanjut, Suppamal berkata, dia serta jiran-jiran tidak mampu untuk membantu dan hanya mampu melihat api marak dan asap tebal kerana bimbang keselamatan mereka.

"Memang bahaya kalau nak masuk sebab saya boleh dengar bunyi bumbung jatuh. Saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan supaya menyelamatkan mangsa dalam rumah. Kami, orang biasa tidak mampu bantu, hanya boleh panggil bomba sahaja," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Nakhoda 5, Taman Rathna pada Rabu.

Kejadian pada jam 9.41 pagi itu membabitkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah memaklumkan, seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an berjaya dibawa keluar.

Menurutnya, mangsa, Daniel Quyum Kamarozlan ditemui cedera di kawasan pintu dapur pada jam 10.21 pagi.

“Dua lagi mangsa, Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkatnya, Andra, berusia lingkungan empat hingga lima tahun ditemukan rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama pada jam 10.59 pagi,” katanya.

Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.21 pagi.