'MCA tidak mampu bergerak solo, resolusi AGM hanya ugutan politik' - Puad Zarkashi

Iklan
Mohd Puad (duduk kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO pada malam Selasa. - Foto FB Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU – Resolusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA yang mencadangkan parti itu meninggalkan Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai sekadar ugutan politik untuk menuntut layanan lebih istimewa dalam gabungan tersebut.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, MCA secara realitinya tidak mempunyai kekuatan untuk bergerak secara bersendirian dalam landskap politik semasa kerana parti itu sejak awal bertapak sebagai sebahagian daripada Perikatan sebelum penubuhan BN.

Iklan
Iklan

“MCA tidak akan mampu bergerak solo tanpa rakan parti komponen. Sebab itu MCA masih bertahan hingga ke hari ini kerana mereka bermula dengan parti Perikatan sebelum Barisan Nasional.

“Tanpa sokongan orang Melayu, parti itu tidak akan menang sebarang kerusi Parlimen seperti di Air Hitam dan Tanjung Piai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Iklan

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menambah, sekiranya MCA benar-benar mahu keluar daripada BN, pilihan mereka hanya terhad kepada menyertai Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Namun, katanya, kedua-dua gabungan itu bukanlah platform yang selesa atau menguntungkan untuk MCA.

Iklan

“Justeru, MCA cuma ada dua pilihan jika keluar BN, iaitu PN atau PH. Tapi melihat PN yang kalah teruk di Sabah, sudah tentu ia bukan pilihan terbaik. MCA juga menolak PN kerana tidak selesa dengan PAS.

“Dalam masa yang sama, MCA sukar menyertai PH kerana DAP sudah tentu membantah. Kalau diterima pun, MCA hanya akan menjadi ‘anak tiri’ dalam PH,” ujarnya.

Beliau menegaskan, tindakan MCA membawa usul keluar BN sebenarnya merupakan taktik politik untuk menekan UMNO dan BN supaya memberi lebih banyak keutamaan kepada MCA, khususnya dalam rundingan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Resolusi Mesyuarat Agung MCA hanyalah satu bentuk ugutan agar BN memberi layanan istimewa kepada MCA, terutama dalam pembahagian kerusi untuk PRU ke-16. MCA sedang mencari jalan bermaruah untuk kekal dalam BN,” katanya lagi.

Sebelum itu, pada Ahad lalu, semasa Perhimpunan Agung Tahunan (AGM), MCA telah meluluskan resolusi menolak kerjasama dengan DAP pada PRU16 atas alasan perbezaan ideologi antara kedua-dua parti tersebut.

Terdahulu, wujud khabar angin bahawa dua parti komponen BN, iaitu MCA dan MIC, sedang merajuk dan berhasrat meninggalkan gabungan itu.