SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) bersemangat untuk cuba menundukkan pasukan pilihan Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan B, Sukan SEA 2025 Thailand di Stadium Rajamangala pada Khamis.
Aksi getir ini menjadi tumpuan memandangkan format kejohanan kali ini hanya juara setiap kumpulan serta naib juara terbaik layak mara ke peringkat separuh akhir.
Pemain Harimau Muda, Haykal Danish Mohd Haizon berkata, tempoh rehat beberapa hari menjelang perlawanan itu sedang dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain untuk memperkemaskan benteng pertahanan serta meningkatkan ketahanan fizikal.
“Persiapan melawan Vietnam, kita ada beberapa hari untuk bersedia. Banyak perkara yang perlu kita perbaiki. Dari segi bertahan dan aspek fizikal, kita perlu tampil lebih kuat berbanding permainan sebelum ini.
“Saya harap semua pemain kekal konsisten dengan latihan dan fokus sepenuhnya. Sasaran kita seterusnya adalah untuk menang. Walaupun keputusan seri mungkin sudah memadai untuk kita layak, kita tetap sasarkan kemenangan,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan lawan, dia tidak menafikan status Vietnam sebagai pasukan pilihan kejohanan yang terkenal dengan kelebihan fizikal serta corak permainan pantas.
Bagaimanapun, skuad negara sudah memiliki ramuan tersendiri untuk menyekat penguasaan lawan khususnya melalui strategi hantaran pantas.
“Kiita perlu cepat gerakkan bola dan pantas bergerak dari sisi ke sisi. Kita tak boleh lawan fizikal mereka, sebaliknya kita kena lawan dengan hantaran cepat,” ujarnya.
Sebelum ini, skuad kendalian Nafuzi Zain itu mencatat kemenangan bergaya menewaskan Laos 4-1 untuk berada di kedudukan teratas Kumpulan B dengan tiga mata dan hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir.