GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatat tiga insiden berasingan membabitkan individu terjatuh ke laut dalam tempoh 24 jam, melibatkan dua kejadian di Jambatan Pulau Pinang dan satu kejadian di kawasan perairan Butterworth.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kes pertama berlaku pada pada Isnin jam 1.41 tengah hari di Tambatan W3 Dermaga Dalam, Butterworth selepas sebuah motosikal Yamaha LC V8 dan telefon bimbit ditemui ditinggalkan di lokasi.
"Polis memaklumkan seorang lelaki dipercayai telah terjatuh ke laut. Mangsa telah dikenal pasti dan berusia 46 tahun namun statusnya masih belum dapat dipastikan.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba Port, dengan pencarian dibahagikan kepada empat sektor iaitu A1 hingga A4," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam kejadian kedua pula, John Sagun berkata, ia berlaku pada Isnin jam 8.22 malam.
Menurutnya, bomba menerima laporan seorang lelaki bersenjata tajam dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai terjatuh ke laut di KM 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai.
"Apabila anggota bomba tiba di lokasi, mangsa tidak lagi ditemui dan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai.
"Operasi SAR kini diselaras oleh Maritim Malaysia dengan bantuan bot bomba, APM dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS)," katanya.
Tambahnya, kawasan pencarian dibahagikan kepada sektor A1, A2 dan A3.
Sementara itu, beliau berkata, kes ketiga dikesan pada jam 3.30 pagi, Selasa.
Menurutnya, pihak Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) telah memaklumkan kepada bomba bahawa rakaman kamera litar tertutup menunjukkan seorang lelaki dipercayai terjatuh di lokasi yang sama.
"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba pada 11.17 pagi dan menemui barangan peribadi milik mangsa.
"Lelaki berusia 31 tahun itu masih belum dikenal pasti identitinya. Operasi SAR juga sedang diteruskan oleh pasukan dari BBP Perai, Butterworth dan Bagan Jermal dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan," ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.