Bicara kes Albert Tei dituduh rasuah dua ADUN mula 20 April, 15 saksi dipanggil

Iklan
Albert Tei. Foto:Bernama

KOTA KINABALU - Perbicaraan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei, yang didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah, dijadualkan bermula pada 20 April depan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus menetapkan perbicaraan terhadap Albert atau nama sebenarnya Datuk Tei Jiann Cheing, 37, berlangsung selama lima hari iaitu sehingga 24 April depan.

Iklan
Iklan

Penetapan tarikh itu dibuat semasa pengurusan pra-perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa seramai 15 saksi dijangka dipanggil sepanjang perbicaraan tersebut.

Iklan

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkarnain Rousan Hasbi memaklumkan bahawa beliau telah mengambil alih kes tersebut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan belum menerima dua salinan cakera padat (CD) daripada pihak pendakwaan.

Iklan

Menurutnya, kedua-dua CD tersebut diserahkan kepada pembelaan semasa prosiding itu, sebelum memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan sekiranya tiada isu lain dibangkitkan.

Sementara itu, peguam Edward Paul, bersama Bartholomew Jingulam dan Jul Hamri yang mewakili tertuduh, memaklumkan bahawa pihak pembelaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Pada 30 Jun lalu, Albert mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memberi rasuah kepada bekas ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dan bekas ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Mengikut pertuduhan pertama, Albert didakwa memberikan suapan sebanyak RM200,000 kepada Dr Yusof sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan Lesen Melombong bagi syarikat Nusa Kini Sdn. Bhd.

Perbuatan itu didakwa berlaku pada jam 2 petang, 6 Mac 2023, di bar sebuah hotel di sini.

Pertuduhan kedua pula melibatkan pemberian rasuah sebanyak RM150,000 kepada Andi sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd bagi Lesen Melombong (Prospecting Licence) mineral di Sabah.

Perbuatan itu didakwa berlaku pada jam 11 malam, 12 Mei 2023 di kediaman Andi di Jalan Pantai, Sembulan.