Cabul wanita depan masjid, duda dipenjara lima bulan

Iklan
Jefri dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang wanita dalam kejadian Oktober lalu.

MELAKA – Seorang duda anak empat dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang wanita di hadapan sebuah masjid pada Oktober lalu.

Tertuduh, Jefri Joris, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani sebaik kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Jefri didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 Oktober 2025, kira-kira jam 11.50 pagi, di kawasan Lebuh AMJ berhampiran pintu gerbang Masjid Al-Abrar Semabok dalam Daerah Melaka Tengah.

Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 31 tahun dengan menyentuh bahagian kiri payudara mangsa dengan niat mencabul kehormatannya.

Iklan

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, mangsa menyerahkan RM5 kepada tertuduh bagi meminta bantuan membeli petrol kerana motosikalnya kehabisan minyak.

Iklan

Tertuduh kemudian kembali sambil meminta botol kosong untuk mengisi petrol namun secara tiba-tiba menyentuh bahagian kiri dada mangsa.

Sebelum meninggalkan lokasi, tertuduh sekali lagi cuba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa.

Bimbang akan keselamatan diri, mangsa bertindak membuat laporan polis.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh penahanan tertuduh pada 16 Oktober lalu.