KUALA SELANGOR - Pemilik tanah terlibat dalam pelaksanaan projek Seksyen 3 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang dinasihatkan menerima keputusan mahkamah dan menggunakan wang pampasan sebaiknya termasuk membeli kediaman baharu.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman berkata, pampasan diberikan kepada pemilik adalah mengikut nilai semasa dan dinilai secara profesional oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
"Mereka yang terlibat telah pun menerima pampasan dan boleh membeli rumah dalam tempoh itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Bengkel Pembangunan Kerjaya: Selangor Career Launchpad 2025 di sini pada Selasa.
Papparaidu berkata, sebahagian pampasan masih berada dalam akaun peguam kerana proses pelepasan menunggu persetujuan pemilik.
“Dalam akaun klien ada kira-kira 70 hingga 75 peratus dan wang itu masih berada di bawah peguam.
"Ia boleh dilepaskan pada bila-bila masa sekiranya mereka menandatangani dokumen berkaitan, jika mereka setuju, esok tandatangan, lusa cek boleh keluar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan pemilik menggunakan wang pampasan dengan bijak.
"Kerajaan hanya menyediakan rumah sewa, sebaiknya mereka yang sudah dapat pampasan pindah dan gunakan wang itu untuk beli rumah baharu.
"Saya faham kesedihan kehilangan tanah turun-temurun, tetapi ini pembangunan awam untuk manfaat rakyat," ujar beliau.
Sinar Harian pada 2 Disember lalu melaporkan, konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek Seksyen 3 WCE yang berlarutan hampir enam tahun kini berakhir apabila kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan dalam keadaan aman pada Selasa.
Sebanyak 19 rumah di kawasan seluas 0.73 hektar itu dikosongkan bagi memberi laluan kepada projek jajaran sejauh 150 meter itu daripada penempatan penduduk.
Konflik melibatkan kawasan dan sebilangan kecil penduduk enggan mematuhi arahan menyebabkan kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 WCE tergendala lebih 20 bulan dan menjejaskan keseluruhan projek lebuh raya yang diumum pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.
Kerja-kerja perobohan rumah penduduk di Kampung Jawa, Klang dilakukan pada 2 Disember lalu.