SKUAD ragbi negara meraih tonik istimewa menjelang Sukan SEA 2025 apabila dijanjikan insentif bagi pasukan yang berjaya membawa pulang pingat emas.
Walaupun enggan mendedahkan jumlah insentif bakal diterima pemain, Presiden Ragbi Malaysia (MR), Amir Amri Mohamad berkata, ia pastinya signifikan bagi menghargai kejayaan pasukan negara.
"Kita memang akui pengorbanan pemain harus dihargai sepanjang hampir dua tahun persiapan menghadapi Sukan SEA Bangkok.
"Jadi kita memang akan menyediakan insentif kemenangan sekiranya dapat pingat emas bagi kedua-dua pasukan tapi jumlah itu saya tak mahu umumkan lagi," katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan tujuh sebelah (7s) pada Isnin.
Mengenai persiapan negara, beliau berkata, sasaran pingat emas bagi pasukan lelaki dilihat realistik berdasarkan komitmen serta semangat pemain yang mahu merampas kembali pingat yang pernah dimenangi pada edisi 2017.
"Dengan semangat yang ada pada pemain untuk berjuang, saya cukup yakin bahawa kejutan akan berlaku di Bangkok nanti," katanya.
Bagi pasukan wanita pula, Amir berkata, skuad bimbingan Mohamad Faiz Samsukhidir itu mampu menjelmakan pingat gangsa, kerana dijangka berdepan cabaran sengit pasukan tuan rumah, Thailand.
"Kita tahu pasukan Thailand sudah mencapai antara pasukan terbaik Asia. Pasukan wanita Filipina dan Singapura juga sedang melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi Sukan SEA kali ini," katanya.
Untuk rekod, Malaysia meraih emas acara ragbi 7s pada edisi 2017 di Kuala Lumpur menerusi pasukan lelaki.
Ragbi 7s lelaki dan wanita dipertandingkan mengikut format liga sepusingan dengan pasukan lelaki membuka kempen menentang Singapura dan Filipina pada 13 Disember, sebelum berdepan Laos pada 14 Disember.
Pasukan wanita pula dijadualkan bertemu Singapura dan Filipina pada 13 Disember, diikuti Indonesia dan Thailand pada 14 Disember. - Bernama