BANGI - Satu Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026-2030 akan dilancarkan awal tahun depan, sebagai kerangka komprehensif bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif bantuan makanan dan memantapkan ekosistem jaringan keselamatan sosial negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan tindakan lima tahun itu kini dalam fasa penyediaan awal dan dibangunkan berasaskan dapatan daripada Konvensyen Food Bank Malaysia 2025, yang berlangsung selama dua hari bermula Isnin.
Beliau berkata, hasil perbincangan, syor serta input daripada pelbagai pemegang taruh termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pemain industri, peruncit, rangkaian hotel, sukarelawan komuniti dan agensi kerajaan akan digunakan sebagai asas kepada draf pelan tindakan berkenaan.
"Kita menyasarkan berdasarkan dapatan konvensyen ini, untuk mengadakan sesi libat urus susulan dengan kadar segera.
"Ia dokumen penting untuk menetapkan hala tuju, sasaran capaian serta kerangka pelaksanaan secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas perasmian konvensyen itu di sini.
Armizan berkata, pelan berkenaan perlu menetapkan matlamat jelas, termasuk sasaran capaian dalam tempoh lima tahun serta keperluan mengenal pasti kelompok masyarakat yang masih belum menerima bantuan makanan, terutama di kawasan tidak diliputi NGO sedia ada.
Beliau berkata, walaupun banyak NGO aktif melaksanakan program bank makanan sejak lebih dua dekad, pendekatan bersepadu melibatkan kerajaan adalah penting bagi memastikan keberkesanan, keseragaman standard, kawal selia dan pemantapan sokongan insentif.
Beliau berkata kementeriannya mahu memastikan transformasi program bank makanan bermula 2026 dijajarkan dengan dua komponen utama, iaitu kelestarian dan keselamatan makanan, serta peranan bank makanan sebagai inisiatif kebajikan yang membantu menangani kos sara hidup dan digerakkan melalui konsep kesepaduan dan tanggungjawab bersama.
Menurut Armizan, pelaksanaan bank makanan perlu diselaraskan dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3, iaitu mengurangkan pembaziran makanan sebanyak separuh menjelang 2030, di samping selari dengan fokus kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sejak diwujudkan pada 2019, Program Food Bank Malaysia yang diselia Sekretariat Food Bank KPDN telah memberi manfaat kepada 1,164,932 ketua isi rumah dan 51,200 pelajar, selain menyelamatkan 6,511 tan metrik lebihan makanan melalui inisiatif keselamatan makanan. - Bernama